LATIHAN Maju Bersama yang menggariskan hubungan pertahanan erat dan terjalin lama antara Singapura dengan Brunei telah dilabuhkan tirainya dalam satu upacara rasmi di Kem Kranji pagi semalam.
Melibatkan 240 tentera kedua-dua negara kali ini, ia memberikan peluang mengukuhkan interaksi profesional sesama tentera Singapura dan Brunei.
Ketua Staf - Staf Umum Brigedier Jeneral (BG) Tan Cheng Kwee, dan Timbalan Komander Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei (RBLF), Kolonel Muhammad Wata Abdullah Awat, hadir pada majlis penutup Latihan Maju Bersama itu.
Satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam menjelaskan latihan tersebut berlangsung dari 21 November hingga hari ini.
Ia merupakan latihan edisi ke-25 yang melibatkan pegawai Briged Infantri Singapura Kedua (2SIB) dan Batalion Kedua Rejimen Infantri Singapura (2SIR) serta Batalion Pertama RBLF.
Menurut Mindef lagi, latihan itu melibatkan tembakan langsung senjata kecilan di Kompleks Berbilang Misi, latihan operasi perbandaran platun dan peringkat unit tentera yang memuncak dengan serangan gabungan bersama kedua-dua angkatan tentera bersandarkan matlamat perbandaran yang disimulasikan.
Mindef berkata latihan edisi ke-25 tahun ini diadakan sejajar dengan Latihan Rintis Bersama, yang merupakan satu sesi pertukaran bahan pembelajaran pakar dan melibatkan lebih 40 peserta daripada Markas Risikan Tentera, tentera Singapura, Batalion Ke-11 Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Risikan serta Skuadron Jurutera Tempur, Batalion Sokongan RBLF yang terlibat dalam pertukaran profesional mengenai sistem Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) seperti sistem Micro-UAV dan Veloce-15 (V15) Mini-UAV milik SAF.
"Latihan ini sememangnya telah menjalin ikatan dan kenangan yang akan kekal seumur hidup, bukan sahaja untuk askar kita,malah pasukan tentera kita...
"Saya berharap dapat melihat tentera kita terus membina dan mengukuhkan hubungan ini, dalam semua peluang kerjasama akan datang; seperti pertukaran pandangan tentang pembangunan keupayaan UAV dan penekanan berulang mengenai Latihan Maju Bersama dan Latihan Rintis Bersama akan datang," kata BG Tan.