SINGAPURA dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan rapat yang sudah sekian lama terjalin, dan ini disokong oleh kerjasama dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.
Presiden Halimah Yacob menulis demikian dalam satu kiriman di Facebook semalam setelah sesi makan tengah hari dengan Putera Mahkota yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah.
"Kami mempunyai hubungan istimewa dan lama dengan Brunei yang disokong oleh kerjasama dua hala yang kukuh dan hubungan peribadi antara pemimpin kami," kata Puan Halimah.
Beliau dan suami, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, telah menghadiri sesi makan tengah hari di Istana dengan Putera Al-Muhtadee Billah dan isterinya, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semalam.
Putera Al-Muhtadee Billah berada di Singapura bagi lawatan rasmi dari semalam hingga esok bagi Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-8.
YLP merupakan wadah penting untuk mencari peluang baru bagi kerjasama dan mengukuhkan ikatan dalam kalangan pemimpin muda kedua-dua negara, kata Puan Halimah.
Laporan lanjut: Putera Mahkota Brunei lawat Sekolah Victoria, Dewan Victoria