PERDANA Menteri Encik Lee Hsien Loong dan delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) pimpinan Speaker Dewan Perwakilan AS, Cik Nancy Pelosi, yang bertemu pada Isnin (1 Ogos), telah bertukar pandangan tentang perkembangan utama antarabangsa dan serantau.
Ini termasuk perang di Ukraine, hubungan antara selat, dan perubahan iklim.
Dalam kenyataannya pada Isnin, Kementerian Ehwal Luar (MFA) juga menyatakan bahawa Encik Lee juga telah menekankan tentang pentingnya hubungan yang stabil antara AS dengan China demi keamanan dan keselamatan serantau.
Presiden Halimah Yacob berserta delegasi Kongres itu juga mengesahkan kerjasama cemerlang dan berkekalan antara Singapura dengan AS.
Mereka membincangkan hubungan rapat antara rakyat kededua negara dan menghargai peluasan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang baru dan akan datang seperti perubahan iklim.
Mereka juga bertukar pandangan tentang cara-cara mempertingkat kesepaduan sosial yang lebih kukuh di Singapura dan AS.
Dalam catatannya, Puan Halimah berkata beliau dan Cik Pelosi mengesahkan kerjasama cemerlang dan berpanjangan antara Singapura dengan AS.
“Kami membincangkan cara mendalami jalinan antara rakyat kededua negara dan mengalu-alukan kerjasama dalam bidang baru serta masa depan seperti perubahan iklim.
“Kami juga bertukar pandangan tentang usaha memupuk kesepaduan sosial serta menghasilkan lebih peluang untuk wanita,” kata Puan Halimah.
Delegasi Kongres itu juga telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; dan Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.