Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura, EU komited tangani kesan perubahan iklim

Jul 09, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA dan Kesatuan Eropah (EU) semalam mengesahkan komitmen bersama dan kerjasama kukuh mereka dalam menangani perubahan iklim dan kesannya di peringkat sejagat.



Mereka juga komited mencapai matlamat bersama dalam tindakan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan memperkukuh daya ketahanan serta keupayaan menyesuaikan diri terhadap tindakan mengatasi perubahan iklim menjelang Persidangan Perubahan Iklim Ke-26 (COP26) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seterusnya.



Ini ditekankan semasa pertemuan Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dengan Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah Frans Timmermans semalam.



Encik Timmermans berada di Singapura bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim dan biodiversiti menjelang COP26, kata EU, Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) di bawah Kumpulan Strategi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan bersama semalam.



Pertemuan mereka itu memberi tumpuan pada peluang kerjasama dalam bidang seperti ekonomi putaran; penyelidikan, pengembangan dan pengerahan huraian rendah karbon seperti hidrogen; pembiayaan hijau; dan kehijauan bandar.



"Singapura dan EU sama-sama menekankan kepentingan mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim, dan dalam memelihara biodiversiti bagi generasi masa depan, meskipun sedang kita memberi respons kepada cabaran pandemik Covid-19," kata EU, NCCS dan MSE dalam kenyataan mereka.



Encik Timmermans berkata beliau berharap perbincangannya bersama Encik Teo, Cik Fu dan Dr Balakrishnan akan membolehkan Singapura dan EU meneroka peluang untuk sama-sama memajukan cabaran jangka panjang peralihan hijau.



"Saya percaya kita semua kini mempunyai peluang sekali dalam generasi untuk menggunakan usaha fiskal tunggal untuk pulih daripada pandemik ini demi 'membangun kembali dengan lebih baik'. Kami bersedia bekerjasama dengan Singapura bagi usaha ini," kata beliau.



Encik Teo pula berkata Singapura komited dalam memperkukuh konsensus antarabangsa mengenai perubahan iklim, dan merangsangkan tindakan menangani perubahan iklim di peringkat serantau dan sejagat.



"Sebagai sebuah negara kecil dengan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang terhad, kerjasama antarabangsa adalah kunci kepada rancangan penyahkarbonan yang ditetapkan dalam Pelan Hijau Singapura 2030 dan Strategi Pembangunan Pengeluaran Rendah Jangka Panjang kita.



"Oleh itu, kita secara aktif mencari sinergi dengan negara berfikiran serupa untuk mengejar peluang dalam penghapusan karbon, dan dalam ekonomi hijau.



"EU adalah rakan rapat dan kuat dalam perjuangan kita menentang perubahan iklim. Perbincangan hari ini mengesahkan visi bersama kita untuk mencapai masa depan rendah karbon bersama, dan mencari enjin pertumbuhan baru dalam pembangunan mampan," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >