SINGAPURA terus memperluas jagaan kesihatan dan kapasiti respons bagi menangani jumlah kes Covid-19 baru yang meningkat, jelas Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Encik Lee, dalam catatan Facebook, pada Sabtu (2 Oktober) berkata, usaha peningkatan dibuat dalam menyokong inisiatif Pemulihan Di Rumah serta membangun lebih banyak kemudahan rawatan Covid-19 buat pesakit berisiko lebih tinggi yang tidak memerlukan rawatan hospital.
Lantaran itu, beliau berpendapat usaha ini akan mengetepikan katil hospital bagi kegunaan mereka yang benar-benar memerlukannya.
"Perjalanan ke arah kebingkasan mengharungi Covid-19 tidak akan semudah mana tetapi kita berusaha mengorak kemajuan yang mantap. Marilah kita semua terus memainkan peranan kita, mengikuti langkah pengurusan selamat dan kita akan mengharunginya secara bersama," jelas Encik Lee.
Beliau berkata usaha mengundang individu berusia antara 50 hingga 59 tahun bagi menempah suntikan vaksin penggalak atau 'booster' Covid-19 sudah dilaksanakan. Sebanyak 50,000 pesanan SMS sudah dikirimkan pada Sabtu.
"Kami telah memberi suntikan penggalak buat warga emas 60 tahun ke atas sejak bulan lalu. Jika anda berusia 60 tahun ke atas, anda boleh ke sebarang pusat vaksinasi, poliklinik atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam bagi suntikan anda, malah tanpa sebarang janji temu.
"Saya telah mendapatkan suntikan penggalak saya dua minggu lalu. Tempah slot anda apabila menerima SMS ini. Setelah lengkap dua dos vaksin, anda harus sudah dilindungi daripada Covid-19.
"Namun, perlindungan ini akan berkurangan dari masa ke masa. Dos tambahan ketiga akan menambah perlindungan anda sekali lagi serta terus mengurangkan kemungkinan anda daripada jatuh sakit teruk," kata Encik Lee.