Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura, Kazakhstan boleh kerjasama dalam pendidikan, pemerkasaan wanita, dialog antara kaum

May 23, 2023 | 05:05 PM



SINGAPURA dan Kazakhstan boleh bekerjasama untuk menangani cabaran bersama dalam tiga bidang iaitu pendidikan, pemerkasaan wanita, dan dialog antara kaum, kata Presiden Halimah Yacob.

Dalam ucapannya sewaktu majlis penganugerahan jawatan profesor kehormat di Universiti Nazarbayev di Kazakhstan pada Selasa, Puan Halimah berkata walaupun kedua-dua negara mempunyai keadaan nasional serta keperluan pembangunan yang berbeza, terdapat ruang bagi dua negara ini untuk berkongsi pengalaman dan bekerjasama bagi cabaran bersama.

Dari segi pendidikan, Puan Halimah menarik perhatian kededua negara mempunyai beberapa persamaan.

Contohnya, Singapura berusaha untuk mewujudkan lebih kepelbagaian dalam laluan pendidikan, selain memperkukuh usaha untuk membangunkan sekitaran lebih inklusif di sekolah.

Singapura juga tahu akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan berusaha meningkatkan sokongan bagi pelajar dewasa untuk menimba kemahiran baru atau mempertingkat kemahiran, katanya.

Sejajar dengan itu, Kazakhstan juga memandang pendidikan sebagai salah satu tonggak dalam strategi nasionalnya dan mahu memperbaiki akses kepada pendidikan bermutu tinggi menerusi pelaburan dalam infastruktur dan mempromosikan dasar pendidikan inklusif di Kazakhstan.

Malah, Puan Halimah berkata negara itu menggalakkan inovasi dan peningkatan kemahiran supaya ia dapat memenuhi keperluan tenaga kerja domestik yang berubah-ubah.

Contohnya di Universiti Nazarbayev, pelajar diberikan peluang bekerja sambil belajar dengan rakan industri supaya dapat menggunakan kemahiran dalam sekitaran dunia sebenar.

“Pengalaman ini penting dalam membina modal manusia berharga yang diperlukan dalam pasaran pekerja. Saya mengalu-alu dan menggalakkan lebih banyak pertukaran fakulti dan pelajar antara Singapura dengan Kazakhstan, yang bukan sahaja akan membawa kepada lebih interaksi antara rakyat tetapi memudahkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik,” ujarnya.

Menyentuh tentang pemerkasaan wanita pula, Puan Halimah berkata lebih banyak perlu dilakukan walaupun Singapura telah mencatat kemajuan baik dalam pembangunan wanita.

Beliau menukil Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang antaranya menggariskan rancangan untuk menyediakan peluang saksama di tempat kerja bagi kededua lelaki dan wanita.

Namun melebihi perundangan dan dasar, usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk memecahkan stereotaip jantina dan mengubah pemikiran, kata Puan Halimah.

Puan Halimah berbesar hati Kazakhstan merupakan salah satu negara Asia Tengah pertama yang menubuhkan entiti nasional untuk mempromosikan kesaksamaan jantina, serta rancangan untuk menaikkan jumlah wanita yang bertanggungjawab membuat keputusan di peringkat penguasa kehakiman, perwakilan dan eksekutif menjelang 2030.

Wanita juga merangkumi hampir separuh tenaga kerja Kazakhstan, kata Puan Halimah, dengan wanita di sana menyumbang banyak kepada pertumbuhan negara tersebut.

Justeru, beliau mengalu-alu perkongsian Kazakhstan dalam pembangunan kepimpinan wanita bersama Singapura.

Puan Halimah selanjutnya berkata memandangkan Kazakhstan mempunyai pengalaman yang kaya dalam mempromosikan dialog berbilang agama dan kaum, beliau mengalu-alu Kazakhstan dalam menyumbang kepada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) yang telah diadakan Singapura pada 2019 dan 2022.

“Sedang banyak masyarakat kini semakin berpecah belah, ia semakin penting untuk memikirkan tentang apa yang menyatukan kita walaupun kita berbeza, dan memperbaiki mutu perbualan, hubungan dan amalan kita sedang kita membina lebih banyak masyarakat bersatu padu untuk masa depan,” jelasnya.

Puan Halimah turut menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MOU) pada Isnin yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam program perintis yang menyediakan program pembinaan keupayaan buat negara Asia Tengah dalam bidang seperti pentadbiran awam, penerbangan sivil, sekitaran, pembangunan bandar dan perundingan perdagangan.

“Kerjasama yang disarankan antara Singapura dengan Kazakhstan ini adalah bukti kepada kepentingan yang ditetapkan negara kita bagi pembangunan modal manusia dan untuk mencari cara bagi menyokong inisiatif pembinaan keupayaan rakan lain,” kata Puan Halimah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >