PELANCONG dari Thailand, Kemboja, Fiji, Maldives, Sri Lanka dan Turkey akan dibolehkan memasuki Singapura tanpa kuarantin bermula pertengahan bulan depan dengan pelancaran enam Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL).
Ini menjadikan jumlah VTL udara yang diumumkan sejauh ini sebanyak 27.
Demikian umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Jumaat (26 Nov).
Sebelum pandemik Covid-19, 27 negara ini membentuk sekitar 60 peratus jumlah ketibaan harian di Lapangan Terbang Changi, kata CAAS.
Pengunjung dari Thailand boleh memasuki Singapura di bawah VTL bermula 14 Disember, sementara pengunjung dari Kemboja, Fiji, Maldives, Sri Lanka dan Turkey boleh memasuki VTL bermula 16 Disember.
Di bawah skim VTL, pelancong yang sudah divaksin sepenuhnya dari negara-negara VTL boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian Covid-19.
Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang belum divaksinasi dibolehkan melakukan perjalanan di bawah skim VTL ke Singapura jika mereka ditemani individu yang memenuhi semua keperluan VTL.