Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura mampu muncul dari krisis Covid-19

PM Lee: Walaupun berdepan dengan cabaran besar koronavirus, S'pura mampu jamin masa depan
Jun 08, 2020 | 05:30 AM



SINGAPURA harus bersedia bagi masa depan yang berbeza, dengan beberapa tahun mendatang akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan gangguan dan kesukaran bagi negara ini, kata Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.



Meskipun perlu berdepan dengan cabaran besar ekoran pandemik Covid-19 ini, Encik Lee yakin negara mampu menjamin masa depan yang cerah.



Beliau berkata demikian semasa membuka tirai siri Siaran Nasional yang membentangkan rancangan masa depan negara pasca Covid-19 dan disiarkan di televisyen dan media sosial malam tadi.



Menurut Encik Lee, Covid-19 bukan sahaja satu masalah kesihatan awam tetapi juga masalah ekonomi, sosial dan politik yang serius.



"Yang jelas, beberapa tahun mendatang akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan gangguan dan kesukaran bagi Singapura.



"Tetapi di sebalik cabaran berat yang kita hadapi, ini jaminan saya: jangan bimbang, kita tidak akan tumbang. Saya yakin kita mampu untuk menjamin masa depan yang cerah untuk Singapura," ujarnya.



Beliau turut membentangkan ramuan bagi mengatasi kemelut yang melanda - kekuatan ekonomi, persiapan awal tangani perubahan, program harungi cabaran dan daya tahan warga.



Beliau berkata nama baik Singapura yang kukuh dan dipercayai di peringkat antarabangsa akan banyak membantu dalam membangunkan ekonomi.



Meskipun sesetengah aliran perdagangan dan pelaburan antarabangsa akan dilencongkan dan tertutup, saluran lain pula akan dibuka, dengan masih terdapat pasaran di luar negara, dan peluang untuk kerjasama antarabangsa.



"Dalam dunia yang bergolak, para pelabur akan menghargai jaminan sebuah pemerintah yang menghormati peraturan. Rakyat yang memahami apa yang dipertaruhkan. Sebuah sistem politik yang stabil dan matang. Semua ini akan membolehkan perniagaan untuk terus beroperasi walaupun dalam tempoh krisis," kata beliau.



Tindakan Singapura dalam menghadapi krisis pandemik ini - iaitu secara terbuka dan telus, tidak gentar menghadapi kebenaran dan tidak bertindak sewenang-wenangnya - juga hanya akan memperkukuhkan lagi kelebihan negara ini, tambah beliau.



Encik Lee berkata Singapura juga sudah lama mempersiapkan diri bagi masa depan yang berbeza dan telah berusaha gigih dalam menjalankan transformasi serta mendalami kemahiran.



Ini termasuk usaha dalam membuat perancangan bagi Ekonomi Masa Hadapan, melabur dengan banyak untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja melalui SkillsFuture; mendigitalkan kedua-dua sektor swasta dan pemerintah; memperkukuh keupayaan inovasi dan penyelidikan dan pengembangan (R&D).



"Tiada siapa yang boleh meramalkan rupa ekonomi sejagat, selepas Covid-19. Tetapi strategi-strategi Ekonomi Masa Hadapan ini, akan mengukuhkan kedudukan kita dan membantu kita menyesuaikan diri walau apa pun yang terjadi," kata beliau.



Demi memastikan rantaian bekalan lebih berdaya tahan, beberapa usaha dilaksanakan termasuk mempelbagaikan sumber makanan.



Pemerintah juga sedang bekerja keras untuk mengekalkan dan menarik bakat dan pelaburan demi menyumbang kepada pemulihan ekonomi.



Keutamaan juga terus diberikan kepada pekerjaan dan dalam membantu rakyat mengekalkan pekerjaan mereka atau mencari pekerjaan baru.



Pelbagai skim bantuan telah diperkenalkan menerusi empat Belanjawan, dengan satu Majlis Pekerjaan Nasional turut dibentuk untuk memacu semua usaha berkaitan pekerjaan.



Jumaat lalu, Parlimen meluluskan pakej sokongan keempat $33 bilion, iaitu Belanjawan Kecekalan, di mana Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat membentangkan rancangan untuk menyelamatkan pekerjaan, mewujudkan peluang latihan baru dan membantu mereka yang terjejas.



Di peringkat antarabangsa, hubungan antara Amerika Syarikat dengan China yang semakin keruh akibat Covid-19 akan membuatnya semakin sukar bagi negara untuk terus menyokong kedua-dua kuasa itu dan ia akan menjadi lebih berbahaya bagi negara kecil seperti Singapura.



Justeru, Singapura mesti memastikan keselamatan dan melindungi serta memajukan kepentingan negara apabila berurusan dengan negara lain, kata Encik Lee.



"Dari masa ke masa, negara dan rakyatnya diuji, seperti kita sekarang ini, diuji. Ada yang musnah dan tewas dek tekanan. Ada pula muncul lebih teguh," kata beliau.



"Pilihan-pilihan yang kita ambil dalam krisis ini, akan membentuk jati diri warga Singapura sebagai satu rakyat, dan nilai-nilai serta cita-cita yang ingin kita wariskan kepada generasi akan datang," tambah beliau.



Kesemuanya, sebanyak enam siaran nasional akan disiarkan, dengan yang terakhir disiarkan pada 20 Jun.



Pelan ini dijangka membentuk agenda utama pemerintah dalam mengharungi masa depan, sedang ia bersiap untuk menghadapi pilihan raya yang perlu diadakan menjelang April 2021 tetapi dijangka berlangsung lebih awal daripada itu.




Bersama atasi krisis segenerasi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >