Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

PERTANDINGAN KEMAHIRAN SEDUNIA

S'pura menang lebih banyak pingat

Raih dua emas dan tiga gangsa; duduki tangga ke-12 dalam pertandingan sengit di Abu Dhabi
Oct 22, 2017 | 05:30 AM

PASUKAN Singapura menang dua pingat emas dan tiga gangsa di tengah-tengah persaingan sengit semasa Pertandingan Kemahiran Sedunia yang berlangsung di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Disifatkan sebagai 'Olimpik Kemahiran Belia', jumlah pingat yang dirangkul kali ini adalah jauh lebih baik daripada yang diraih semasa kali terakhir pertandingan itu diadakan di Sao Paulo, Brazil, di mana Singapura mendapat satu pingat perak dan dua gangsa.

Diadakan sekali setiap dua tahun, pertandingan Kemahiran Sedunia ini merupakan kejuaraan kemahiran terbesar yang menyatukan bakat global terbaik untuk bersaing dalam pelbagai kemahiran kerjaya dan bidang.

Semasa pertandingan empat hari dari 15 hingga 18 Oktober itu, pasukan Singapura, yang merangkumi 21 peserta daripada Institut Teknikal Pendidikan (ITE) dan lima politeknik, telah mengambil bahagian dalam 19 bidang kemahiran.

Singapura memenangi dua pingat emas dalam dua bidang baru - Seni Permainan Digital 3D (Dimensi) dan Pengangkutan Barang dan Kargo - yang juga merupakan bidang yang mewakili kemahiran paling cepat berkembang dalam ekonomi global sekarang.

Lulusan ITE dan kini pelajar Politeknik Nanyang, Encik Ng Jun Xuan, menang pingat emas dalam Seni Permainan Digital 3D, manakala lulusan Politeknik Temasek, Cik Olivia Low, memenangi pingat emas kedua negara dalam Pengangkutan Barang dan Kargo.

Di samping itu, pasukan Singapura juga menang tiga pingat gangsa yang diraih lulusan Politeknik Nanyang, Cik Fazira Zulkifli, 21 tahun, dalam Penjagaan Kesihatan dan Sosial; pelajar Politeknik Nanyang, Encik Li Kangli, dalam Pentadbiran Sistem Rangkaian Teknologi Maklumat; dan anggota alumni ITE dan Politeknik Singapura, Encik Andrew Tan, dalam bidang Pengkabelan Rangkaian Maklumat.

Dalam pada itu, pasukan Singapura juga meraih lapan medalion kecemerlangan.

Ini termasuk dalam bidang seperti khidmat restoran, teknologi desain grafik dan elektronik.

China muncul di tangga teratas dengan 30 pingat, separuh daripadanya pingat emas, manakala Switzerland pula di tempat kedua dengan 11 emas daripada 20 pingat yang diperolehi negara tersebut.

Singapura di tangga ke-12.

Hampir 1,300 peserta dari 60 negara telah bersaing dalam 50 bidang kemahiran.

Delegasi Rasmi Singapura ke Pertandingan Kemahiran Sedunia dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Majlis Kemahiran Sedunia Singapura, Encik Bruce Poh, berkata bahawa terdapat minat yang semakin meningkat di kalangan negara maju dan membangun untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

"Kami amat bangga dengan pencapaian pasukan Singapura. Pertandingan ini telah meningkatkan kesedaran mereka tentang tahap kemahiran rakan seangkatan mereka di peringkat global.

"Ia akan memberi inspirasi kepada mereka agar terus memperbaiki dan memperkukuh kemahiran di tengah-tengah perubahan pesat industri dan teknologi," ujar Encik Poh.

Semasa pengumuman keputusan pada 19 Oktober lalu, Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), Encik Ong Ye Kung, berkata beliau "amat gembira" dengan prestasi Singapura sambil menambah bahawa beliau berharap pertandingan itu boleh meningkatkan kesedaran tentang bidang vokasional.

Beliau merupakan menteri pendidikan pertama Singapura yang melawat Pertandingan Kemahiran Sedunia antarabangsa itu.

Kesemua 13 pemenang juga akan diberi hadiah wang tunai daripada SkillsFuture Singapore (SSG).

Pemenang pingat emas menerima $20,000, pemenang pingat gangsa menerima $5,000, manakala penerima medalion kecemerlangan menerima $1,000.


APAKAH ITU PERTANDINGAN KEMAHIRAN SEDUNIA

  • Setiap dua tahun, ratusan anak muda berkemahiran dari serata dunia berhimpun untuk bersaing dalam bidang kemahiran yang mereka pelajari, dan menguji kebolehan mereka mengikut piawaian antarabangsa.
  • Para peserta pertandingan ini mewakili yang terbaik di kalangan rakan-rakan mereka yang lain - daripada pertandingan kemahiran peringkat negara mahupun serantau.
  • Dimulakan sebagai pertandingan kemahiran negara di Madrid, Sepanyol, pada 1947 untuk meningkatkan imej latihan vokasional di negara itu, Pertandingan Kemahiran Sedunia ini kemudian menjadi pertandingan antarabangsa pada 1950 dengan dua negara mengambil bahagian - Sepanyol dan Portugal.
  • Daripada 12 pesaing, pertandingan itu berkembang dan menarik penyertaan hampir 1,300 pesaing dari lebih 60 negara yang bertanding dalam 50 bidang kemahiran.
Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian