KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) kekal bersedia untuk mempertingkat langkah cegah penularan jika perlu, sedang ia memantau dengan teliti keadaan semasa global Covid-19 meskipun dengan China dijadual melonggarkan sekatan sempadannya pada 8 Januari ini.
Pengembara yang belum divaksin akan terus diwajibkan memperoleh keputusan negatif Covid-19 dua hari sebelum berangkat ke Singapura.
Pengunjung jangka pendek yang belum divaksin sepenuhnya juga perlu mempunyai ansurans pelancongan yang menawarkan liputan $30,000 bagi perbelanjaan perubatan berkait Covid-19.
Semua penumpang dari laut atau udara yang memasuki Singapura turut kekal diwajibkan menghantar pengesahan kesihatan sebelum tiba di negara ini.
Meskipun terdapat keprihatinan berkenaan kadar tinggi penularan jangkitan koronavirus di China serta keputusan negara lain seperti India, Italy dan Jepun menetapkan keperluan menjalani ujian bagi semua pengembara dari China, keadaan tempatan di Singapura kekal stabil meskipun selepas melalui gelombang varian XBB, kata MOH.
Pada tahap pandemik semasa, faktor terpenting bagi Singapura adalah keimunan populasinya.
MOH berkata: “Kami tidak dapat menyekat kesemua jangkitan, dan sudah pasti virus itu akan terus menular dalam masyarakat, namun kami boleh memastikan jangkitan itu akan menyebabkan lebih kurang kes jangkitan teruk.”
Katanya lagi, MOH sedang memantau keadaan, termasuk kedua-dua perkembangan luar dan keupayaan sistem penjagaan kesihatannya sendiri.
"Kami siap sedia untuk melaksanakan semula langkah-langkah kesihatan sempadan untuk negara terpilih jika ia diperlukan oleh situasi kesihatan awam," kata MOH