Masih banyak lagi usaha yang harus dilakukan oleh Singapura untuk menyediakan jaminan pekerjaan dan peluang pekerjaan lebih baik untuk rakyatnya, kata Ketua Pembangkang, yang juga ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh.
Lantaran itu, WP akan terus membentangkan saranan dasar yang bertanggungjawab di Parlimen untuk menggerakkan dan memajukan masyarakat kita, tekan beliau dalam amanat Hari Pekerja pada Ahad.
Menurut Encik Singh, golongan pekerja berdepan dengan beberapa cabaran seperti ramalan pekerjaan yang tidak menentu.
Beliau berkata warga Singapura sedang berdepan dengan antara lain, kenaikan kos sara hidup.
Encik Singh menukil perangkaan inflasi terkini yang terus meningkat, mencerminkan harga pengangkutan dan hartanah yang melonjak, di samping kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Situasi ekonomi makro yang mungkin memburuk, bermakna pekerja akan menghadapi laluan kehidupan yang berliku pada masa depan,” ujarnya.
Satu lagi trend yang dijangka memberi cabaran kepada pekerja ialah kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT yang boleh menghasilkan kandungan bersifat manusia sebagai respons kepada pertanyaan mudah.
Apa yang jelas, kata Encik Singh ialah dengan cita-cita Singapura menjadi Negara Bijak dan sentiasa di barisan hadapan teknologi dan mengutamakan produktiviti di tempat kerja, kita tidak akan menjauhkan diri daripada penggunaan teknologi AI secara meluas.
“Persoalannya ialah adakah apa yang kita lakukan ini cukup untuk memastikan pekerja kita meraih manfaat daripada AI dan inovasi serupa, dan bukan menjadi mangsa?
“Bagaimanakah kita boleh menggunakan inovasi sedemikian untuk meningkatkan produktiviti dan gaji pekerja serta menolong perniagaan kita untuk berkembang?” terang Encik Singh lagi.