PAKAR pengganasan, Dr Noor Huda Ismail menekankan pendirian pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara, yang mewajarkan kekerasan dan tindakan berbentuk pengganasan seperti pengebom nekad, di samping komennya yang memperlekehkan agama lain, boleh menyebabkan perselisihan.
Walaupun Abdul Somad Batubara, bukan seorang pengganas atau penyokong kumpulan pengganas seperti ISIS atau Jemaah Islamiyah (JI), namun pendiriannya yang mewajarkan kekerasan dan tindakan berbentuk pengganasan seperti pengebom nekad, perlu ditolak, kata Dr Noor Huda.
Beliau yang merupakan zamil pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), yang berasal dari Indonesia turut menekankan dalam era media sosial, kenyataan dan komen-komen sedemikian berbahaya kerana boleh dimanipulasi bagi tujuan serta agenda tertentu.
Memberi contoh, Dr Noor Huda berkata, pendakwah Abdul Somad telah membuat dakwaan bahawa ISIS adalah satu organisasi yang ditubuhkan Amerika Syarikat.
Malah, beliau menekankan, tindakan pengebom nekad di Palestin tidak boleh dianggap sebagai satu tindakan pengganasan. Sebaliknya ia merupakan satu pengorbanan yang ‘syahid’.
Selain pendiriannya mengenai pengganasan dan kekerasan itu, pendakwah Abdul Somad juga membuat komen yang memburukkan penganut agama lain, antaranya penganut agama Kristian, dengan menggambarkan salib sebagai tempat kediaman “jin kafir (roh/syaitan)”.
“Pemerintah Singapura memandang serius terhadap keharmonian sosial,” ujar Dr Noor Huda.
Beliau menambah: “Pengajaran Abdul Somad yang bersifat pengasingan dan memudaratkan perpaduan sosial dan menjejas ruang bersama, tidak dibenarkan sama sekali di Singapura.
“Singapura mempunyai ujian litmusnya sendiri yang perlu dihormati semua pihak.”
Pendakwah Abdul Somad dari Indonesia, yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura baru-baru ini atas ajarannya yang bersifat ekstremis dan pengasingan.
Dalam kenyataannya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), menerangkan Abdul Somad telah ditemu bual sebaik beliau tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam Isnin lalu.
Berikutan temu bual tersebut, beliau bersama enam teman perjalanannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang ke Batam dalam sebuah feri pada hari yang sama.
Menurut MHA, pendakwah itu telah diketahui pihaknya sebagai menyebarkan ajaran ekstremis dan pengasingan, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.
“Sebagai contoh, Somad berdakwah bahawa pengeboman nekad dibolehkan dalam konteks konflik Israel-Palestin, dan dianggap sebagai operasi ‘syahid’.
“Beliau juga membuat komen yang memburukkan anggota masyarakat agama lain, seperti Kristian, dengan menggambarkan salib Kristian sebagai tempat kediaman ‘jin kafir (roh/syaitan)’,” kata MHA.
Kementerian itu menambah bahawa kemasukan pelawat ke negara ini bukan sesuatu yang automatik atau merupakan satu hak dan setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendirinya.
Pemerintah Singapura mempunyai dasar konsisten berhubung isu keharmonian kaum dan agama.
Beberapa pendakwah agama lain juga pernah dilarang masuk ke negara ini kerana melahirkan pandangan yang tidak boleh diterima atau bercanggah dengan nilai keharmonian kaum dan agama di sini.
Sebagai contoh, paderi Amerika, Lou Engle pernah dilarang daripada berdakwah di Singapura selepas beliau membuat komen menyinggung perasaan Muslim dalam khutbahnya di sebuah gereja di Singapura pada 2018.
Menyusuli larangan yang dikenakan ke atas pendakwah Abdul Somad itu, sebilangan pengikutnya telah membanjiri akaun media sosial beberapa pemegang jawatan politik Singapura serta agensi pemerintah.
Ini termasuk akaun media sosial Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Huda menambah dasar pihak berkuasa menolak permohonan Abdul Somad untuk memasuki Singapura, bukan hanya unik kepada negara itu sahaja.
Abdul Somad juga pernah dilarang masuk negara lain seperti Timor Leste, Hong Kong, Britain, dan Belanda.
“Ia merupakan hak prerogatif dan kuasa setiap negara di dunia termasuk Singapura, yang mempunyai kriteria bagi membenarkan pengunjung memasuki negara mereka,” katanya lagi.
Baru-baru ini sebagai memberikan respons kepada tindakan yang diambil Singapura, seorang jurucakap daripada Kementerian Ehwal Luar Indonesia, Dr Teuku Faizasyah berkata Indonesia juga mengiktiraf kedaulatan setiap negara untuk melaksanakan peraturan imigresen dan haknya untuk menerima atau menolak kemasukan warga asing.
“Sebagai negara berdaulat, Indonesia juga mempunyai dasar imigresen di mana kita juga boleh menolak sesiapa sahaja yang ingin memasuki Indonesia,” kata Dr Teuku dalam satu sidang media dalam talian, lapor akhbar The Straits Times.
Dalam taklimat yang sama, pengarah perlindungan rakyat Kementerian Ehwal Luar Indonesia, Encik Judha Nugraha berkata, Indonesia juga telah melaksanakan haknya untuk menolak kemasukan warga lain.
Sambil menukil data imigresen, menurutnya dari Januari hingga pertengahan bulan Mei, negara itu telah menolak kemasukan 452 warga asing, termasuk warga Singapura ekoran pelbagai isu imigresen.
Akur, Dr Noor Huda berkata langkah yang diambil Indonesia itu, sama seperti apa yang dilakukan Singapura.
“Indonesia telah menolak ramai individu asing memasuki Indonesia meski untuk lawatan sosial, jika pegawai imigresen percaya bahawa individu tersebut membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada negara itu sama ada secara politik atau budaya.
“Situasinya sama seperti Singapura,: katanya.