SINGAPURA menyambut ulang tahun ke-56 dengan perbarisan yang dikecilkan tetapi tetap penuh bermakna di pentas terapung Marina Bay pada Isnin (9 Ogos).
Acara itu melibatkan 600 peserta berseragam dan mereka diserta secara maya oleh 200 lagi orang daripada kumpulan seragam belia dan 12 pertubuhan sosial dan ekonomi.
Jumlah ini dua pertiga lebih kecil berbanding Perbarisan Hari Kebangsaan di pentas terapung itu sebelum pandemik, tetapi lebih besar daripada yang diadakan di Padang tahun lalu, apabila 300 kakitangan Home Team dan Angkatan Tentera Bersenjata Singapura (SAF) berkawat di Padang.
Acara di Marina Bay dimulakan dengan kawat anggota berseragam, yang disaksikan sekitar 100 penonton termasuk Anggota Parlimen (AP), penjawat politik dan warga Singapura yang telah diundang untuk mewakili ‘wira harian’ atau warga Singapura yang telah berkhidmat di barisan depan atau dalam khidmat penting sejak pandemik bermula.
Presiden Halimah Yacob tiba sekitar 9.20 pagi, berpakaian simbolik merah pada kali keempat beliau menghadiri perbarisan Hari Kebangsaan sebagai ketua negara.
Lebih awal dari itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menteri kabinet dan AP lain juga tiba, mengambil tempat masing-masing dan mematuhi panduan jarak selamat.
Rakit ketenteraan Mobiliti Generasi ketiga (M2G), menjadi pentas dari mana 21 bedilan mariam ditembak semasa Puan Halimah memeriksa perbarisan.
Menyusuli itu, berlatar lagu kebangsaan Majulah Singapura, sebuah helikopter Chinook yang membawa bendera negara terbang lalu di udara Marina Bay, diikuti sekumpulan pesawat pejuang F-15SG yang memberi hormat kepada negara.
Perbarisan istiadat ini diumumkan pada 22 Julai, selepas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang biasanya diadakan di sebelah petang ditunda ke 21 Ogos, selepas Fasa Kedua (Kewaspadaan Dipertingka) berakhir pada 18 Ogos.