Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

LAWATAN PM LEE KE SRI LANKA

S'pura, Sri Lanka meterai FTA

Jan 23, 2018 | 06:03 PM

SINGAPURA dan Sri Lanka semalam menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang antara lain mengurangkan tarif bagi eksport Singapura ke Sri Lanka dan sekali gus membuka pintu perdagangan lebih luas bagi kededua negara.

Di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Sri Lanka-Singapura (SLSFTA), eksport daripada Singapura tidak akan dikenakan tarif atau cukai bagi 80 peratus senarai tarif yang dikenakan sebelum ini.

Singapura pula sememangnya tidak mengenakan tarif untuk 99 peratus barangan yang disenaraikan dalam jadual tarif bagi eksport Sri Lanka ke Singapura.

Dengan FTA itu, penjimatan tarif bagi eksport Singapura dianggarkan mencecah $10 juta setiap tahun.

Perjanjian itu juga meliputi bidang perkhidmatan, dengan kedua-dua negara komited memberi laluan yang lebih besar ke pasaran masing-masing bagi perkhidmatan profesional, alam sekitar, pembinaan, pelancongan dan pengembaraan.

Firma Singapura juga akan dibenarkan membida projek pemerintah yang ditawarkan badan pemerintah terpilih dan perusahaan milik negara Sri Lanka.

Kementerian Perusahaan dan Perdagangan (MTI) dalam satu kenyataan berkata perjanjian itu "akan meletakkan Singapura sebagai rakan dan penyokong awal pelan dan pembangunan ekonomi Sri Lanka yang lebih bebas".

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena hadir untuk menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu.

Ia ditandatangani Menteri Perdagangan dan Industri (Industri) S. Iswaran, dan rakan sejawatannya, Menteri Strategi Pembangunan dan Perdagangan Antarabangsa Sri Lanka, Encik Malik Samarawickrama.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Cik Lee; Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan; Anggota Parlimen Encik Saktiandi Supaat dan Encik Liang Eng Hwa lapor akhbar The Straits Times.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian