SINGAPURA akan menyumbang AS$10 juta ($13.9 juta) kepada dana perantara kewangan (FIF) Bank Dunia bagi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons pandemik, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dana tersebut bertujuan mengisi "jurang pembiayaan penting" dan menggalak pendekatan yang lebih diselaraskan bagi pelaburan ke dalam bidang-bidang tersebut, menurut kementerian itu dalam kenyataannya kelmarin.
FIF juga akan membantu meningkatkan pelaburan domestik di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan rendah selain membina kapasiti serantau serta global dalam pencegahan, kesiapsiagaan dan respons pandemik.
Suruhanjaya Eropah, Jerman, Indonesia dan Amerika Syarikat juga sudah mengikrarkan sumbangan masing-masing bagi dana tersebut.
Menurut Bank Dunia, dana sedemikian memanfaatkan pelbagai sumber awam dan privet bagi menyokong inisiatif-inisiatif antarabangsa, sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa untuk menyediakan respons langsung dan terlaras kepada keutamaan sejagat.
FIF lain sudahpun ditubuhkan bagi mencegah penyakit berjangkit, bertindak balas terhadap perubahan iklim dan menyokong keselamatan makanan.
Singapura juga sudah menyumbang kepada mekanisme Komitmen Pasaran Lanjut Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax) dan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta agensi-agensi kesihatan antarabangsa lain sebagai respons kepada Covid-19.
"Singapura menyokong inisiatif-inisiatif berbilang hala bagi mengukuhkan keselamatan kesihatan global," kata MOF.