Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura teroka modul terbaik untuk sokong pembelajaran sepanjang hayat

Jun 18, 2022 | 05:30 AM



SEBUAH platform yang menggabungkan dan memanfaatkan kekuatan berbeza daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di sini dengan tujuan mewujudkan modul mikro berkualiti tinggi bagi pelajar dewasa.



Demikian antara saranan yang dikemukakan panelis 15 anggota semasa mesyuarat Panel Penasihat Akademi Antarabangsa (IAAP) ke-12 untuk dipertimbangkan universiti autonomi (AU) Singapura sebagai satu model kolaborasi baru dalam usaha menyokong pembelajaran sepanjang hayat.



Mendedahkan saranan itu kepada pihak media semalam menyusuli berakhirnya mesyuarat tiga hari IAAP di Hotel Ritz-Carlton, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata saranan itu sesuatu yang boleh dicapai.



Malah, sudahpun terdapat perbincangan sebelum ini tentang bagaimana untuk memilih modul terbaik daripada sistem latihan sedia ada agar ia mudah diakses pelajar dewasa.



"Apa yang disifatkan sebagai modul terbaik bukanlah bermaksud program sarjana muda atau diploma, tetapi modul terbaik yang relevan kepada pelbagai individu yang datang daripada institut pendidikan teknikal (ITE), politeknik atau universiti.



"Justeru kami akan cuba mencari platform di mana sumber dapat dikongsi dan digabungkan bersama agar setiap pelajar dewasa boleh menuju ke platform tersebut untuk mengakses pembelajaran yang diperlukan," katanya.



Beliau turut menegaskan bahawa Singapura bersedia untuk melabur dalam tenaga kerja bagi 50 tahun akan datang.



"Hari ini banyak negara termasuk Singapura melaburkan banyak sumber bagi 15 tahun pertama sistem pendidikan, tetapi kita perlukan perspektif baru di mana bukan sahaja melabur dalam 15 tahun pertama kehidupan sekolah, tetapi juga melabur dalam tenaga kerja bagi 50 tahun akan datang," ujarnya.



Keseimbangan bekerja-belajar bagi tempoh 50 tahun itu adalah penting kerana ia bukan sahaja mencerminkan keperluan ekonomi masyarakat tetapi juga keperluan sosial di mana warga boleh terus belajar, menyumbang dan membuat perbezaan, katanya.



Encik Chan turut menukil contoh sistem pembelajaran Finland di mana institusi pendidikan tinggi telah bergabung untuk mendigitalkan dan menawarkan pembelajaran yang fleksibel.



Profesor Ilkka Niemala, Presiden Universiti Aalto di Finland yang merupakan antara panelis IAAP tahun ini, berkata pihaknya akur tentang pelajar dewasa yang datang daripada pelbagai latar belakang, selain memerlukan bimbingan dan laluan pembelajaran khusus yang sesuai dengan keperluan mereka.



Daripada memastikan setiap universiti menangani isu itu secara sendirian, institut pengajian tinggi di negara itu telah bersatu dan membangunkan platform yang memanfaatkan penggunaan data besar dan kecerdasan buatan (AI) agar bimbingan yang diberikan lebih khusus sambil mengambil kira sejarah pembelajaran pelajar terlebih dahulu, pengalaman bekerja dan juga keadaan pasaran pekerjaan.



"Yang menariknya, terdapat kepelbagaian di Singapura kerana setiap universiti di sini mempunyai profilnya tersendiri.



"Saya dapat lihat terdapat potensi kerana universiti yang berbeza boleh menawarkan kekuatan mereka yang tidak didapati universiti lain atau melengkapi tawaran yang ada," ujarnya.



Mengulas, Presiden Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Tan Eng Chye, berkata kerjasama antara AU bukan sesuatu yang baru, malah sudahpun terdapat pertukaran pelajar antara universiti di sini.



Namun, antara cabaran yang menurutnya mungkin timbul ialah isu sistem.



"Ia perlu diperjelaskan sama ada platform itu untuk bakal pelajar atau pelajar yang berpotensi dan dapat mengakses ekosistem itu.



"Tetapi daripada segi kolaborasi, ia bukan sesuatu yang sukar untuk kami mengenal pasti mana satu untuk kami bekerjasama," katanya lagi.



Saranan lain yang dikemukakan termasuk pentingnya pembelajaran antara disiplin agar dapat mewujudkan huraian menyelesaikan masalah kompleks hari ini, bekerjasama dengan pakar industri, mewujdukan lebih banyak peluang pendedahan kepada industri, insentif untuk menyumbang kepada pembelajaran sepanjang hayat serta membangunkan pasukan universiti lebih kukuh yang memandang ke hadapan dan tangkas.



Mesyuarat IAAP yang dipengerusikan Menteri Kanan, juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam, terdiri daripada pemimpin terbilang dalam bidang akademik dan industri seluruh dunia.




"Apa yang disifatkan sebagai modul terbaik bukanlah bermaksud program sarjana muda atau diploma, tetapi modul terbaik yang relevan kepada pelbagai individu yang datang daripada institut pendidikan teknikal (ITE), politeknik atau universiti."
- Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >