Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

S'pura tidak dapat terima usul M'sia keluarkan syarikat aset dari projek HSR

Walau projek HSR dibatal, tidak akan jejas rancangan bangun Daerah Tasik Jurong, butiran perlu disesuai
Jan 05, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA tidak dapat menerima saranan Malaysia untuk meniadakan pembekal sistem dan pengendali rangkaian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) kerana ia merupakan "penyimpangan asas" daripada perjanjian asal, kata Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung.



Beliau berkata perubahan untuk meniadakan Syarikat Aset (AssetsCo) merupakan keprihatinan utama Singapura, dan telah membawa kepada pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.



Sementara itu, Encik Ong berkata walaupun projek HSR itu dibatalkan, ia tidak akan menjejas rancangan membangunkan Daerah Tasik Jurong meskipun beberapa butiran mungkin perlu disesuaikan.



Projek HSR itu dibatalkan setelah Malaysia membenarkan perjanjian dua hala itu luput pada 31 Disember 2020 selepas kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan tentang perubahan yang disarankan Malaysia.



Encik Ong berkata khidmat HSR rentas sempadan itu - jika ia diteruskan - mesti berkhidmat sebagai sistem kereta api tunggal yang beroperasi antara Singapura dengan Kuala Lumpur (KL).



"Oleh sebab kedua-dua negara ini tiada kepakaran dan pengalaman dalam mengendalikan HSR, kami bersetuju di bawah perjanjian dua hala HSR untuk melantik pemain industri terbaik menerusi tender antarabangsa yang terbuka dan telus untuk menyandang peranan AssetsCo.



"Setelah dilantik, AssetsCo akan membekalkan sistem kereta api, mengendalikan rangkaian, memastikan keutamaan yang wajar diberikan kepada khidmat HSR rentas sempadan berkaitan dengan khidmat domestik Malaysia, dan bertanggungjawab kepada kedua-dua Singapura dan Malaysia," kata beliau di Parlimen semalam.



Encik Ong berkata bagi Singapura, AssetsCo merupakan "teras" projek HSR dan ia diperlukan bagi memastikan kepentingan kedua-dua negara dilindungi.



"Ini akan mengurangkan kemungkinan perselisihan dan pertikaian masa depan sepanjang jangka masa panjang projek itu, selama berpuluh-puluh tahun.



"Oleh itu, Singapura memaklumkan kepada Malaysia bahawa penyingkiran AssetsCo merupakan penyimpangan asas daripada perjanjian dua hala HSR, dan tidak boleh diterima," kata beliau.



Dengan perjanjian dua hala itu kini dibatalkan, Encik Ong berkata "Singapura bersedia membincangkan sebarang saranan baru mengenai HSR KL-Singapura dari Malaysia secara jujur, tetapi dengan permulaan baru".



Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian dua hala yang mengikat secara sah pada 2016 selepas rundingan selama tiga tahun.



Atas permintaan Malaysia, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian tambahan pada Mei 2018 untuk menunda pembinaan projek itu.



Perjanjian kedua kemudian ditandatangani bagi melanjutkan penundaan itu kepada 31 Disember 2020, "dengan pemahaman jelas bahawa ia merupakan lanjutan terakhir", kata Encik Ong.



Dengan projek itu kini dibatalkan, Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura mengikut perjanjian HSR, tambah beliau.



Encik Ong berkata Singapura telah membelanjakan sekitar $270 juta bagi projek itu sejauh ini - lebih rendah berbanding anggaran sekitar $300 juta sebelum ini yang diberikan mantan menteri pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, pada 2018, kerana Singapura dapat mengurangkan kontrak dan mengekalkan kegiatan pada paras rendah.



Pampasan itu akan merangkumi pelbagai kos terbantut tetapi bukan kos pemerolehan tanah kerana nilai tanah boleh diperoleh kembali, tambahnya.



Jumlah dan jadual pembayaran ditetapkan dalam perjanjian tersebut, kata Encik Ong, sambil menambah beliau tidak dapat mendedahkan perangkaannya atas sebab kerahsiaan.



Dalam pada itu, beliau berkata rancangan membangunkan Daerah Tasik Jurong, yang akan menjadi pusat komersial dan daerah terbesar di luar kawasan pusat bandar apabila selesai kelak, akan diteruskan.



Tapak tanah yang diperolehi pemerintah masih diperlukan untuk menjadikan rancangan tersebut satu kenyataan.



"Misalnya, tapak Jurong Country Club akan menyediakan pembangunan pelbagai kegunaan dan kemudahan masyarakat baru. Tapak Raffles Country Club juga masih diperlukan bagi depoh barat Laluan Rentas Pulau dan pusat ujian kereta api bersepadu. Kami akan dapat merealisasikan potensi penuh tanah itu untuk memberi manfaat kepada rakyat Singapura," kata beliau.




"Oleh sebab kedua-dua negara ini tiada kepakaran dan pengalaman dalam mengendalikan HSR, kami bersetuju di bawah perjanjian dua hala HSR untuk melantik pemain industri terbaik menerusi tender antarabangsa yang terbuka dan telus untuk menyandang peranan AssetsCo... Oleh itu, Singapura memaklumkan kepada Malaysia bahawa penyingkiran AssetsCo merupakan penyimpangan asas daripada perjanjian dua hala HSR, dan tidak boleh diterima."
- Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >