S'pura tubuh agensi baru tingkatkan khidmat guaman, perakaunan

SEBUAH pejabat silang agensi sedang dibentuk untuk membantu menyelaras inisiatif membangunkan khidmat guaman dan perakaunan Singapura.

Pejabat yang ditubuhkan secara bersama oleh Kementerian Undang-Undang, Kementerian Kewangan, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan dibuka bulan depan.

Pembukaannya merupakan langkah susulan daripada saranan kumpulan kerja Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan bagi khidmat guaman dan perakaunan menyusuli semakan yang dijalankan selama setahun.

Saranan tersebut, yang didedahkan hari ini, menekankan perlunya bagi firma undang-undang dan perakaunan bersaing dalam permintaan antarabangsa menerusi pembangunan keupayaan, kerjasama dan inovasi.

Menteri Negara Kanan (Undang-Undang dan Kewangan), Cik Indranee Rajah, berkata industri undang-undang dan perakaunan di sini berada dalam keadaan baik tetapi ia perlu menjangkau lebih daripada pasaran domestik yang kecil demi meningkatkan pertumbuhan.

Perangkaan rasmi terkini menunjukkan Singapura mempunyai 6,444 peguam dan 874 firma undang-undang.

Industri perakaunan pula menggajikan 17,812 pekerja dari kalangan 689 syarikat.

Kededua industri itu mempunyai sejumlah eksport perkhidmatan bernilai $1.1 bilion tahun lalu. - ST