SINGAPURA sedang melakukan yang terbaik bagi mempertingkat operasi Covid-19 dalam keadaan jumlah kes yang bertambah demi memastikan semua pesakit dijaga dengan baik, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Facebook pada Rabu (22 September).
"Saya tahu ia adalah masa yang menimbulkan tekanan bagi mereka yang mempunyai anggota keluarga yang dijangkiti Covid-19," kata Encik Lee sambil menambah ada yang menulis kepadanya bagi meluahkan rasa bingit dengan situasi kini.
Dalam masa beberapa minggu ini, ramai yang mengatakan mereka terpaksa menunggu lama antara diuji positif Covid-19 dengan dihantar ke hospital atau kemudahan jagaan masyarakat bagi jagaan lanjut.
Ada juga yang mengadu mereka tidak dapat menghubungi Kementerian Kesihatan (MOH) untuk bertanyakan apa yang perlu dilakukan jika diuji positif.
Dalam catatannya, Encik Lee berkata beliau mengunjungi pejabat Operasi Kumpulan Kerja Pengurusan Kes (CMTG) Covid-19 pada Selasa.
Kumpulan ini mentadbir segala proses buat pesakit termasuk menugaskan mereka ke kemudahan jagaan yang wajar, mengatur pengangkutan serta memberi taklimat kepada pesakit mengenai apa yang mereka perlu lakukan khususnya apabila mereka menjalani pemulihan di rumah.
"CMTG mempunyai tuntutan tugas yang sangat mendesak. Mereka beroperasi 24 jam/7 hari dalam situasi yang pesat berubah. Bilangan kes masih bertambah dan kami sedang melakukan yang terbaik bagi mempertingkat operasi kami dan memastikan semua pesakit dijaga dengan baik," jelas Encik Lee.
Beliau menambah pesakit yang sudah mendapatkan vaksinasi lengkap kini digalakkan agar menjalani pemulihan di rumah jika mampu, khususnya jika tanda jangkitan mereka ringan.
"Ia juga akan mengurangkan permintaan bagi katil hospital agar yang berpenyakit serius boleh mendapatkan rawatan yang mereka perlukan," ujar Encik Lee lagi.