Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

STB beri perincian cara guna Baucar Teroka Semula S'pura

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

BAUCAR TEROKA SEMULA S’PURA

STB beri perincian cara guna Baucar Teroka Semula S'pura

- Baucar $100 sah hingga 30 Jun menerusi 5 wadah tempahan dalam talian; produk/khidmat layak ditanda ikon Baucar Teroka Semula SG - 69 kaunter fizikal turut tersedia di serata pulau bagi hulur bantuan
Nov 24, 2020 | 05:30 AM

BAUCAR Teroka Semula Singapura bernilai $100 boleh digunakan untuk penginapan hotel, tiket tempat tarikan dan lawatan setempat yang layak, mulai 1 Disember.

Warga Singapura berusia 18 tahun ke atas boleh memanfaatkan baucar itu sehingga 30 Jun menerusi lima wadah tempahan dalam talian.

Mereka adalah Changi Travel Services, GlobalTix, Traveloka, Trip.com dan Klook, dengan kerjasama UOB Travel Planners, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam memberikan perincian lebih lanjut mengenai skim itu, semalam.

Produk yang layak akan ditandakan dengan ikon Baucar Teroka Semula Singapura.

STB menjelaskan bahawa rakyat Singapura boleh menggunakan akaun SingPass untuk menebus baucar itu dalam talian serta memeriksa baki akaun baucar mereka.

Mereka yang tidak ada akaun SingPass digalak supaya mendaftar untuk akaun mereka manakala mereka yang lupa kata kunci mereka, digesa mengeset semula kata kunci sebelum penebusan baucar bermula nanti.

Mereka yang sukar menggunakan baucar digital itu boleh ke mana-mana 69 kaunter fizikal yang ditubuhkan di merata negara, bagi mendapatkan bantuan.

Bercakap dalam satu taklimat media secara maya semalam, Ketua Eksekutif STB, Encik Keith Tan, berkata ini adalah skim baucar hanya digital nasional yang pertama diperkenalkan oleh pemerintah.

Ia merupakan satu tugas yang besar untuk STB, dengan melibatkan ratusan peniaga, lima rakan tempahan dan puluhan lokasi fizikal di serata Singapura, kata Encik Tan.

"Kami tahu bahawa penggunaan tempatan tidak akan mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan pelancongan.

"Tetapi kami berharap bagi tujuh bulan mendatang, warga akan menggunakan baucar ini untuk meneroka semula Singapura, meneroka apa yang ditawarkan oleh hotel-hotel kita, tarikan dan lawat dan dalam proses itu, menyokong pekerjaan dan keupayaan kita dalam industri pelancongan," ujar beliau dalam ucapannya.

Kata Encik Tan, proses memperkenalkan dan menebus baucar itu dipandu oleh tiga prinsip utama iaitu mudah digunakan; selamat digunakan dan harus inklusif dan mudah diakses.

"Bagi memudahkan baucar ditebus, lima rakan tempahan rasmi yang dikenali telah dilantik bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang luas menerusi laman web mereka," terang beliau.

Menurut Encik Tan, baucar itu bertujuan untuk membantu industri pelancongan. Justeru, beliau gembira melihat industri memberi sambutan baik dengan lebih 200 peniaga telah menyertai untuk menawarkan produk, sejak inisiatif itu diumumkan pada Ogos.

Ini juga menghasilkan banyak kerjasama rentas sektor, dengan produk yang segar dan menarik untuk rakyat Singapura, tambah Encik Tan.

Pengerusi Persatuan Tarikan Singapura, Dr Kevin Cheong, pula berkata para anggotanya telah bekerja keras bagi memastikan piawaian kebersihan dan keselamatan.

"Meskipun pergerakan antarabangsa umum tidak akan kembali pada masa terdekat, kami harap baucar ini akan memberikan sedikit kelegaan. Pada masa yang sama, kami harap rakyat akan datang dan meneroka pelbagai pengalaman ditawarkan," katanya.

Sementara itu, STB berkata baucar itu tidak boleh dipindahkan kepada orang lain atau dijual semula.

Mereka yang didapati menyalah gunakan skim baucar itu seperti meraih keuntungan dan menipu, boleh dibatalkan baucar itu dan mungkin dirujuk kepada polis.

Skim baucar bernilai $320 juta yang diumumkan pada Ogos lalu, adalah teras utama dalam kempen domestik bagi memastikan penakatan sektor pelancongan di tengah-tengah sekatan pergerakan pandemik Covid-19.


BAUCAR TEROKA SEMULA S'PURA

"Kami tahu bahawa penggunaan tempatan tidak akan mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan pelancongan. Tetapi kami berharap bagi tujuh bulan mendatang, warga akan menggunakan baucar ini untuk meneroka semula Singapura, meneroka apa yang ditawarkan oleh hotel-hotel kita, tarikan dan lawat dan dalam proses itu, menyokong pekerjaan dan keupayaan kita dalam industri pelancongan."
- Ketua Eksekutif STB, Encik Keith Tan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3