LEMBAGA Pelancongan Singapura (STB) sedang berusaha menyediakan sekurang-kurangnya satu atau dua pelabuhan panggilan, atau port of calls, bagi kapal persiaran dari Singapura menjelang akhir tahun ini.
Destinasi popular yang dipertimbangkan termasuk Bali di Indonesia, serta Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang di Malaysia selain Phuket di Thailand yang diumumkan sebelum ini.
Ini dipertimbangkan selepas lebih setahun pelayaran tanpa destinasi dilaksanakan semasa pandemik ini.
Menurut pengarah pelayaran STB, Cik Annie Chang, berbanding dengan perjalanan udara, sektor kapal persiaran nampaknya pulih pada kadar yang lebih perlahan.
Penyambungan semula pelabuhan panggilan - yang tidak dibenarkan sejak pelayaran disambung semula pada November 2020 - bukanlah mudah dan memerlukan perancangan terperinci, kata beliau.
Memberi beberapa butiran mengenai proses menyediakan panggilan sedemikian, Cik Chang berkata langkah-langkah seperti memakai pelitup dan protokol ujian Covid-19 perlu diseragamkan di kalangan negara yang ingin dihentikan oleh pelayaran itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa di sesi pranonton media untuk kapal baru Royal Caribbean International di sini, Spectrum of the Seas, baru-baru ini.
Kapal baru itu, yang terbesar di Asia, akan menggantikan kapalnya ketika ini iaitu Quantum of the Seas, mulai 11 April. Ia akan menyambut tetamu antarabangsa pertama laluan pelayaran itu di sini sejak Covid-19.