BAGI 'orang kuat' Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Yuhua, Cik Saharidah Suradi, sikap rajin mengitar semula barang terpakai bukan sahaja tabiat yang baik diamalkan demi kebersihan alam malah ia juga satu keperluan baginya.
Selain bersikap prihatin terhadap sekitaran setempat, terdapat beberapa kemudahan dan prasarana terkini di Singapura yang memerlukan penduduk lebih bertanggungjawab apabila mereka membuang sisa dan sampah.
Pada 2015, bloknya di kejiranan Yuhua di Jurong East Street 21 merupakan antara blok rumah awam pertama di Singapura yang menerima sistem pengumpulan sampah automatik Pneumatic Waste Conveyance System (DPWCS).
Sistem berkenaan persis sebuah vakum yang menyedut sampah dari saluran buang sampah di rumah dan menyalurkannya ke sebuah pusat pengumpulan, lantas memerlukan penduduk lebih rajin mengasingkan sampah agar saluran itu tidak mudah tersendat.
Pesara berusia 66 tahun itu, bersama suaminya, Encik Rosli Puteh, 72 tahun, yang telah tinggal di flat lima bilik mereka di kejiranan tersebut selama hampir empat dekad telah mengamalkan tabiat mengitar semula bahan yang boleh diguna semula sejak sistem itu diperkenal.
"Kalau kita tak rajin buang barang yang bersaiz besar dan diperbuat daripada bahan keras seperti botol plastik dan kotak-kotak saluran itu mungkin tersendat dan menyusahkan jiran lain," kata ibu empat anak dan nenek 12 cucu itu.
"Jadi memandangkan ia satu keperluan untuk mengasingkan sampah sebegitu daripada bahan sisa lain, lebih baik kami mengitarnya," jelas pengerusi MAEC Yuhua CC itu yang juga penerima anugerah Pingat Bakti Masyarakat Hari Kebangsaan Ogos tahun lalu.
Sejak lebih tiga tahun lalu, Cik Saharidah dan Encik Rosli mengumpul barang yang hendak dikitar semula seperti kontena dan botol plastik serta karton telur dalam beg plastik merah yang diikat dan diletak di atas jubin di hujung dapurnya.
Apabila beg plastik itu penuh, setiap dua hingga tiga kali seminggu, Encik Rosli, seorang pekebun dan anggota akar umbi kejiranan di situ akan turun ke kolong blok untuk membuangnya dalam tong tersedia.
Namun menurut Encik Rosli: "Kalau cucu datang, habislah dapur penuh. Sebab mereka selalu jajan air gas dan manisan dan kami akan asingkan botol-botol dan sisa plastik mereka yang boleh dikitar semula."
Disebabkan itu, isterinya Cik Saharidah bersemangat hadir pada acara pelancaran kotak kitar semula mudah alih, Bloobox dilancar Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), baru-baru ini.
Sebagai sebahagian kempen 'Recycle Right', tujuan kotak lipat itu adalah untuk menggalak orang ramai mengamalkan sikap mesra alam serta mengitar semula bahan terpakai secara bertanggungjawab.
Penduduk boleh membuang bahan yang hendak dikitar semula dalam kotak itu, termasuk sisa elektronik dan kemudian membuangnya di tong tertentu.
Kini dalam fasa pengagihan rintis, sebanyak 65,000 kotak lipat itu tersedia bagi penduduk Fengshan, Sembawang West, Tampines North, Yio Chu Kang dan Yuhua hingga lewat Disember ini.
Penduduk boleh mendapatkan kotak tersebut menerusi 14 mesin layan diri di kelima-lima kawasan kejiranan itu.
Inisiatif berkenaan akan dilancar di semua kejiranan seluruh negara mulai Mac tahun depan.
Cik Saharidah yang juga memikul tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi akar umbi Zon Penduduk Yuhua Zon 2 bersama suaminya yang juga aktif dalam kerja akar umbi berpendapat ini satu langkah ke hadapan yang ketara bagi menggalak orang ramai mengambil berat tentang kebersihan dan kemampanan sekitaran negara.
"Ini kerana masih terdapat ramai orang yang tak begitu mengerti bagaimana untuk mengitar semula secara bertanggungjawab," kata Encik Rosli.
Setiap dua hingga tiga kali seminggu, ketika beliau turun ke kolong blok untuk membuang bahan yang hendak dikitar semula, beliau memerhatikan tong biru kitar semula di luar kolong blok penuh dengan sisa yang tidak sepatutnya dibuang di situ, seperti sisa makanan dan bahan yang sudah lembap.
Malah dalam satu laporan media pada 2018 yang turut dirujuk NEA, lebih 40 peratus bahan yang dibuang oleh warga Singapura untuk dikitar semula akhirnya tidak dapat diproses kerana ia sudah tercampur dengan bahan yang kotor seperti sisa makanan dan air.
"Jadi masih banyak perlu dilakukan untuk mendidik orang ramai bagaimana untuk mengitar semula secara bertanggungjawab seperti membersihkan bahan yang ingin diguna semula sebelum membuangnya dalam tong biru," katanya.
Cik Saharidah berharap menerusi inisiatif Bloobox yang menjelaskan apa yang boleh dan tidak boleh dikitar menjadi satu peringatan agar penduduk lebih bertanggungjawab apabila ingin membuang sampah dan mengitar semula bahan terpakai.
"Dengan kotak ini ia membuat usaha mengitar semula barang terpakai lebih bersih dah teratur," ujarnya lagi.
"... Masih terdapat ramai orang yang tak begitu mengerti bagaimana untuk mengitar semula secara bertanggungjawab.
"Jadi masih banyak perlu dilakukan untuk mendidik orang ramai bagaimana untuk mengitar semula secara bertanggungjawab seperti membersihkan bahan yang ingin diguna semula sebelum membuangnya dalam tong biru."
- Encik Rosli Puteh bersama isterinya, Cik Saharidah, gunakan kotak Bloobox NEA untuk mengumpul sampah untuk dikitar semula.
USAHA RINTIS INISIATIF KOTAK KITAR SEMULA BLOOBOX
TARIKH PENGUMPULAN: 26 November - 23 Disember 2022.
KINI TERBUKA KEPADA PENDUDUK DI KEJIRANAN:
■ Fengshan
■ Sembawang West
■ Tampines North
■ Yio Chu Kang
■ Yuhua
Akan dibuka kepada semua kawasan kejiranan Singapura pada Mac 2023.
Lokasi pengumpulan Bloobox boleh didapatkan menerusi laman: gowhere.gov.sg/bloobox