Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MALAM SASTERA: ASMARA DALAM LAGU

Suara Sanisah Huri, cerita Yusnor Ef buat penonton terhibur

Nov 07, 2017 | 05:30 AM



NYANYIAN merdu biduanita Sanisah Huri pada acara Malam Sastera: Asmara Dalam Lagu membawa para peminatnya ke zaman remaja mereka.



Meskipun kebanyakan mereka yang hadir berusia antara 50-an dengan 60-an tahun, kegirangan jelas terpancar pada wajah mereka, yang seronok menyanyi lagu malar segar seperti Si Baju Hijau dan Joget Malam Berinai.



Sambil berhibur dengan lagu dendangan beliau, penonton tidak kering gusi mendengar penulis lirik tersohor, Cikgu Yusnor Ef, menerangkan cerita tersirat di sebalik lagu-lagu nyanyian Sanisah dalam sesi santai berdasarkan soal yang dikemukakan wartawan kanan Berita Harian (BH) Encik Chairul Fahmy Hussaini.



Ternyata, penonton acara di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri Nasional Singapura, malam kelmarin, bukan sahaja terhibur oleh dendangan Sanisah, malah tertarik dan dapat mengetahui sesuatu di sebalik lirik lagu-lagu itu.



Acara itu dianjurkan bersama buat julung-julung kali oleh akhbar BH dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), dengan sokongan Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) sempena Pesta Penulis Singapura.



Ia juga diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-60 akhbar ini.



"Saya rasa terharu kerana diberi kepercayaan adakan acara anjuran BH ini, lebih-lebih lagi saya dapat digandingkan dengan Cikgu Yusnor yang banyak membuat senikata lagu saya,'' kata Sanisah, 65 tahun, yang kelihatan anggun berpakaian baju songket biru pada permulaan persembahan.



Ditanya mengenai lirik lagu ditulis Cikgu Yusnor yang paling memberi kesan pada dirinya, Sanisah berkata ia lagu Tahun Sedih Bagiku.



Ini kerana semasa Cikgu Yusnor menulis lirik itu, ia merupakan hari lahir Sanisah yang ke-17 tahun tetapi pada hari itu juga, datuknya meninggal dunia.



Selepas Sanisah mendendangkan lagu Gelisah, Cikgu Yusnor berkongsi bahawa lirik lagu itu ditulis kerana perasaan kecewa yang dirasakannya apabila seorang gadis Punjabi yang beliau minati hanya menganggapnya sebagai kawan sahaja.



"Satu hari saya datang ke Jalan Ampas, Kassim Masdor sedang bermain gitar di bawah pokok rendang. Saya tanya dengan dia. Lagu itu sedihlah. Dia kata 'kau buat liriklah'.



"Saya pun kata setuju kerana ada masalah dengan gadis itu. Lagu itu dinyanyikan oleh Ahmad Jais sebagai penyanyi asal sebelum dirakam semula oleh Sanisah.



"Akhirnya, dengan kuasa Allah, gadis itu telah menjadi isteri saya selama 50 tahun hingga hari ini,'' cerita Cikgu Yusnor, mengimbas kenangan mengusik jiwa itu.



Terkenang masanya bersama penggubah lagu Allahyarham Kassim Masdor, Cikgu Yusnor berkata Allahyarham mempunyai nilai kerja yang tinggi dan memang cerewet orangnya, demi menjadikan sesebuah karya seni itu menjadi karya "yang masih orang ingat hingga hari ini".



Seperti lagu Ku Jangan Ditinggalkan oleh Sanisah, Cikgu Yusnor berkata pada mulanya liriknya ditulis sebagai 'Sayang... sayang, mengapa aku ditinggal pergi' tetapi beliau diminta oleh Kassim Masdor supaya mengubahnya kepada 'Kasih... kasih, mengapa aku ditinggal pergi'.



"Kerana perkataan 'kasih' itu seperti namanya 'Kassim... Kassim'!'' seloroh Cikgu Yusnor, sambil disambut hilai tawa penonton.



Bertukar kepada nada serius, Cikgu Yusnor berkata "tanpa Kassim Masdor, tidak akan ada Yusnor Ef atau Sanisah Huri".



Mengingati kawannya itu, Cikgu Yusnor juga mengajak hadirin membaca surah al-Fatihah buat Allahyarham.



Acara eksklusif selama satu setengah jam itu dihadiri sekitar 200 peminat Sanisah dan Cikgu Yusnor, termasuk penyanyi veteran Rahimah Rahim dan Junainah M. Amin.



Kata Rahimah Rahim: "Saya memang minat Sanisah Huri dan lirik yang ditulis Cikgu Yusnor Ef.



"Lagu-lagu Sanisah banyak unsur kemelayuan, iramanya sedap didengar dan seni kata lirik lagunya memang cukup mengesankan saya.



"Acara BH ini amat baik kerana ia memberikan banyak pengetahuan, terutama kepada generasi muda mengenai makna di sebalik lagu itu.''



Selain peminat tempatan, beberapa peminat Sanisah dari Kuala Lumpur, Brunei dan Sabah juga terbang ke Singapura semata-mata untuk menonton persembahan beliau.



Mengaku sebagai peminat setia biduanita itu, pasangan suami isteri Shukri Abdul Muluk, 55 tahun, dan Roslina Saidin, 47 tahun, dari Kuala Lumpur sanggup terbang ke Singapura untuk bertemu idola mereka, walaupun baru bertemu beliau di Kuala Lumpur dalam sebuah acara September lalu.



Datin Suriati Haji Morneh dari Brunei dan Datin Taslimah Rahman dari Kota Kinabalu, Sabah, amat terhibur dengan acara itu yang santai tetapi berisi dengan kandungan bernas.



"Saya memang peminat Sanisah sejak kecil lagi dan ini adalah kali pertama saya menonton persembahannya,'' kata Datin Suriati, yang mengetahui acara itu menerusi rakannya dari Singapura.



Dato' Osman Jusoh, dari Kuala Lumpur, memuji usaha BH dan Perkamus mengadakan acara itu, menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi meningkatkan pengetahuan generasi muda di sebalik lirik lagu yang ditulis itu.



Acara itu membuka mata peminat bahawa karya seni bukan hanya hiburan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerja keras dan kejujuran.



Ini seperti kata Cikgu Yusnor: "Seniman P. Ramlee memberitahu saya bahawa karya seni merupakan satu kerja Tuhan. Oleh itu, buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran.''




"Saya memang minat Sanisah Huri dan lirik yang ditulis Cikgu Yusnor Ef. Lagu-lagu Sanisah banyak unsur kemelayuan, iramanya sedap didengar dan seni kata lirik lagunya memang cukup mengesankan saya. Acara BH ini amat baik kerana ia memberikan banyak pengetahuan, terutama kepada generasi muda mengenai makna di sebalik lagu itu.
- Penyanyi veteran Rahimah Rahim




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >