Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Sudut infak bak 'kedai runcit' percuma di Tampines dapat sambutan

200 paket beras, 270 paket minuman 3-dalam-1, 150 kotak teh, 300 jenis paket biskut, 400 paket mi segera dan 80 helai telekung dan tudung telah diagih
Apr 27, 2021 | 05:30 AM



APABILA ke rumah seseorang, selalunya tumbuh-tumbuhan, kasut atau mungkin hiasan akan menyambut kehadiran tetamu di muka pintu.



Namun, lain pula halnya di depan flat pasangan suami isteri, Encik Asanul Fariq Sani, 48 tahun, dan Cik Norhasyimah Awaludin, 45 tahun, di Tampines.



Keadaan ekonomi yang tidak menentu dek pandemik Covid-19 mencetuskan idea bagi pasangan itu, bersama empat putera mereka.



Keluarga itu menyediakan ruang infak di depan rumah mereka sebagai tapak pengagihan barang keperluan kepada golongan susah.



Dinamakan Infaq Corner, sudut yang menyerupai "kedai runcit" itu menyediakan barang keperluan dapur seperti beras, teh, kopi, biskut, sardin dalam tin dan mi segera.



Tudung, telekung dan baju Hari Raya, yang baru dan belum dipakai, turut disediakan.



Menariknya, di "kedai runcit" itu, tiada bayaran dikenakan.



Malah, individu boleh sahaja ke tingkat dua, Blok 268, Tampines Street 21 untuk mengambil barang yang mereka perlukan, tanpa sebarang syarat mahupun disoal tentang latar belakang mereka.



Encik Fariq, seorang penjual makanan di kantin sekolah rendah bersama isterinya, berkata:



"Tujuan saya sebenarnya untuk menolong golongan berpendapatan rendah. Tidak kira apa latar belakang mereka, mereka boleh datang pada bila-bila masa dan ambil barangan yang mereka perlukan.



"Tiada jurang antara kita. Sama ada anda miskin, kaya atau menghadapi masalah, anda boleh datang ambil."



Encik Fariq telah mula mengelolakan usaha sebegitu setahun lalu tetapi secara kecil-kecilan.



Beliau terdorong berbuat demikian daripada pengalamannya membantu pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura akibat Covid-19, kongsi Encik Fariq.



Dalam mengusahakan Infaq Corner, Encik Fariq dan isterinya menyimpan hasrat yang lebih penting.



Pasangan suami isteri itu ingin memupuk nilai-nilai murni dalam diri keempat-empat anak lelaki mereka yang berusia antara 11 dengan 19 tahun.



"Saya mahu didik anak saya untuk ada sifat belas kasihan, untuk memberi dan berkongsi dengan orang lain tanpa rasa ragu-ragu.



"Walaupun sedikit kita memberi, ganjaran (di akhirat) yang kita dapat besar. Nilai bukan ukuran (untuk memberi), tetapi ia membawa ganjaran," kata Encik Fariq.



Sejauh ini, keluarga Encik Fariq telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak $3,000 bagi membeli stok di "kedai runcit" mereka, ditambah dengan sumbangan bernilai $2,000 daripada sanak-saudara dan rakan-rakan.



Encik Fariq memberitahu Berita Harian bahawa sehingga petang Rabu lalu, semua stoknya telah habis diagihkan.



Ini selepas daya usaha Encik Fariq sekeluarga menjadi tular, dipetik media aliran utama dan dikongsi di media sosial.



"Masya-Allah sambutannya sangat luar biasa. Kami tidak menjangkanya... Kami terima orang yang datang sejauh Woodlands, Jurong, Telok Blangah dan Bukit Merah," kongsi Encik Fariq.



Kira-kira 200 paket beras, 270 paket minuman 3-dalam-1, 150 kotak teh, 300 jenis paket biskut, 400 paket mi segera dan 80 helai telekung dan tudung telah diagihkan kepada orang ramai - yang terdiri daripada mereka yang berkerusi roda, kurang upaya dan ibu bapa tunggal - selama lebih seminggu ini.



Encik Fariq kini sedang berusaha mengisi semula stoknya, yang termasuk telekung dan tudung setelah mendapat banyak permintaan daripada kaum wanita yang baru berhijrah yang datang ke Infaq Corner.



Beliau menambah inisiatif itu juga telah mendapat perhatian ramai yang tampil memberi sumbangan kepada "kedai runcitnya".



Ini termasuk mereka yang bukan masyarakat Melayu/Islam.



"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menjadi satu rangkaian bagi mereka yang ingin membantu golongan susah menggunakan saya sebagai cara untuk melakukannya.



"Ia telah membuka mata masyarakat bahawa terdapat ramai golongan susah dalam kalangan kita," tambah Encik Fariq, yang berharap dapat meneruskan kerja murni itu melebihi bulan Ramadan.




"Tujuan saya sebenarnya untuk menolong golongan berpendapatan rendah. Tidak kira apa latar belakang mereka, mereka boleh datang pada bila-bila masa dan ambil barangan yang mereka perlukan...

Saya mahu didik anak saya untuk ada sifat belas kasihan, untuk memberi dan berkongsi dengan orang lain tanpa rasa ragu-ragu.

Walaupun sedikit kita memberi, ganjaran (di akhirat) yang kita dapat besar. Nilai bukan ukuran (untuk memberi), tetapi ia membawa ganjaran."

- Encik Asanul Fariq Sani, menyediakan barang keperluan di depan flat di Tampines.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >