Suhu cecah 21.4 darjah Celsius, lebih dingin daripada ramalan

SUHU di Singapura mencecah 21.4 darjah Celcius Isnin lalu (2 Dec) di bahagian utara Singapura, lebih dingin daripada yang dijangka.

Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) mengumumkan Jumaat lalu (29 Nov) bahawa Singapura boleh menjangkakan suhu antara 22 dengan 30 darjah Celcius pada dua minggu pertama Disember.

Namun, pada Isnin, suhu terendah yang tercatat ialah 21.4 darjah Celcius pada 6 petang di bahagian utara Singapura, khususnya di Admiralty, lapor The Straits Times.

Suhu minimum harian terendah yang pernah dicatatkan di Singapura ialah 19.4 darjah Celcius iaitu pada 30 dan 31 Januari 1934.

MSS berkata cuaca lebih dingin pada bulan ini di Singapura adalah disebabkan hujan sederhana hingga lebat yang dijangka berlaku.

Suhu 24 jam akan datang dijangka berada antara 23 hingga 31 darjah Celcius, kata MSS, sambil menambah angin dan hujan dengan guruh boleh dijangkakan.