Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga emas cekal semangat ambil vaksin

'Suka bergaul dengan kawan, bersiar... sebab tu dapatkan vaksin'

Demi keselamatan dan kesihatan, warga emas ini telah mengambil vaksin Covid-19 bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi juga orang-orang tersayang. Ikuti pengalaman mereka yang dikongsi dengan BERITA HARIAN.
Jul 02, 2021 | 05:30 AM



MEMBACA laporan mengenai individu yang telah mendapatkan vaksin Covid-19 dan maklumat berkenaan vaksinasi itu dalam suratkhabar telah mendorong Cik Salmah Hassan untuk mendaftar bagi vaksinasi itu sendiri.



Malah, beliau dan suaminya, Encik Talib Nikmat, sama-sama sudah pun selesai mendapatkan dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Kelab Masyarakat Taman Jurong pada Mei lalu.



Kini, nenek berusia 71 tahun itu mendorong pula rakan-rakan dan anggota keluarga lain yang belum lagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk melakukan demikian demi keselamatan diri sendiri dan orang tersayang di sekeliling.



"Saya lakukan ini bukan untuk diri saya saja... ini untuk keselamatan bersama. Andai kata kita tak dapatkan vaksin, sekali kita kena (jangkitan), nanti ia libatkan keluarga kita, anak cucu kita semua.



"Bagi saya lebih baiklah (untuk dapatkan vaksin). Lagipun, ia percuma, bukan perlu bayar… Saya ini suka bergaul dengan kawan-kawan, suka jalan-jalan sebab itu saya dapatkan vaksin ini," kata nenek lapan cucu dan dua cicit itu.



Program vaksinasi nasional di Singapura dilancarkan secara berfasa, dengan warga emas berusia 70 tahun ke atas merupakan antara golongan yang diberi keutamaan bagi vaksinasi di sini dan telah ditawarkan vaksin Covid-19 sejak Januari lalu.



Namun, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, kelmarin mengutarakan keprihatinannya kerana 24 peratus warga emas masih belum divaksin atas pelbagai sebab.



Pemerintah telah menjadikannya lebih mudah bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas mendapatkan vaksin, dengan mereka boleh langsung pergi ke mana-mana pusat vaksinasi untuk mendapatkan vaksin mereka di situ terus.



Cik Salmah berkongsi bahawa beliau telah pergi ke Kelab Masyarakat Taman Jurong untuk membuat pendaftaran untuk vaksin itu bagi diri beliau dan suaminya sebelum ini.



Bagi suntikan dos pertamanya, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan.



Bagi suntikan dos kedua pula, Cik Salmah berkata lengannya terasa sengal dan beliau mengalami demam.



"Tapi saya makan panadol sebiji dah okay. Demamnya tak teruk, kurang dua hari dah baik," kata beliau.



Cik Salmah berkata ada rakan-rakannya yang belum lagi mendapatkan vaksin kerana takut akan kesan sampingan yang boleh dialami.



Ada juga yang terbaca laporan mengenai kematian yang dikaitkan dengan vaksin itu dan oleh itu, enggan mendapatkan vaksin Covid-19.



Malah, suaminya sendiri, Encik Talib, 61 tahun, pada mulanya keberatan untuk mendapatkan vaksin Covid-19, tetapi setelah Cik Salmah memujuknya dan menjelaskan tentang kelebihan vaksinasi, mereka berdua akhirnya pergi mendapatkan vaksin itu bersama.



"Saya cakap dengan mereka kesan sampingannya tak teruk. Dan kalau memang dah sampai ajal kita, tak ambil vaksin pun tetap kita akan pergi. Saya cakap dengan mereka ini semua demi keselamatan diri kita dan orang di sekeliling.



"Saya cakap juga kalau tak ambil vaksin sekarang, nanti bila sempadan dah buka semula, kita mungkin tak boleh jumpa saudara mara kita di Malaysia nanti," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >