Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAWATAN SULTAN JOHOR KE SINGAPURA

Sultan Ibrahim terima ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang NUS

Jul 22, 2022 | 05:30 AM



PRESIDEN Halimah Yacob telah menyampaikan ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang, Universiti Nasional Singapura (NUS), kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelmarin.



Menyampaikan ijazah tersebut sebagai Canselor NUS, Puan Halimah, dalam catatannya di Facebook, berkata Singapura dan Malaysia adalah jiran yang rapat dengan kedua-dua rakyat Singapura dan penduduk Johor khususnya berkongsi ikatan dan hubungan yang mendalam.



"Jumlah trafik yang menyeberangi sempadan darat kita setiap hari mencerminkan hakikat ini.



"Ada banyak lagi bidang di mana Singapura dan Johor boleh bekerjasama," ujarnya.



Puan Halimah telah bertemu Sultan Ibrahim di sini kelmarin.



Sultan Ibrahim mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura mulai kelmarin atas undangan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, diiringi Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan isteri, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam, serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan pegawai negeri lain.



Puan Halimah berkata beliau gembira dapat bertemu dan mengadakan jamuan minum petang bagi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.



Tambahnya, beliau juga berpeluang bertemu dengan Mejar Jeneral Tunku Ismail dan Che' Puan Besar Khaleeda.



"Kami mengadakan perbincangan yang baik tentang hubungan antara Singapura dengan Johor serta bagaimana kami boleh bekerjasama, termasuk dalam bidang keterhubungan dan keselamatan makanan," ujar Puan Halimah.



Dalam pada itu, Encik Lee juga telah mengadakan jamuan tengah hari di Istana kelmarin bagi meraikan lawatan Sultan Ibrahim ke negara ini.



Semasa berucap di majlis jamuan itu, Encik Lee menarik perhatian peranan penting yang dimainkan Johor sebagai pintu masuk utama antara Singapura dengan Malaysia dalam usaha mengekalkan kerjasama erat serta hubungan baik antara Singapura dengan Malaysia.



Sebelum ini, Sultan Ibrahim juga telah mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Encik Lee dan isteri Mei lalu, memperkukuh lagi hubungan antara Johor dengan Singapura.



Sultan Ibrahim mengurniakan kepada Encik Lee Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.).



Sementara itu, Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Datuk Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.) turut disampaikan kepada isteri Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >