Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN: RAHAT PEMIMPIN SINGAPURA-INDONESIA

Sumbangan besar Jokowi demi eratkan hubungan dua hala

Mar 17, 2023 | 05:30 AM



INDONESIA bakal mengadakan pilihan raya umum, termasuk pemilihan presiden, pada 14 Februari 2024.



Oleh itu, kemungkinan besar Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia kali ini di sini merupakan yang terakhir bagi Presiden Joko Widodo (Jokowi).



Beliau mula menjadi presiden negara terbesar Asia Tenggara itu pada Oktober 2014. Di bawah kepimpinannya, Indonesia menikmati pertumbuhan ekonomi tahun demi tahun.



Namun, beliau turut menghadapi cabaran terbesarnya iaitu wabak Covid-19 mulai awal 2020 hingga pertengahan 2022.



Di dalam negara, Encik Jokowi terus menikmati sokongan ramai rakyatnya, sehingga ada saranan agar tempoh presidennya dilanjutkan bagi satu lagi penggal selama lima tahun.



Di bawah Perlembagaan Indonesia, seorang tidak boleh menjadi presiden lebih daripada dua penggal, atau sejumlah 10 tahun.



Namun, Encik Jokowi sendiri telah menegaskan mahu menuruti Perlembagaan negara, dan tidak bertujuan bertanding lagi dalam pilihan raya presiden nanti.



Beliau juga dilihat sebagai pemimpin yang berusaha gigih mahu mengukuhkan perpaduan rakyatnya yang berbilang kaum dan bahasa.



Ini termasuk mencari perdamaian kekal dan adil di wilayah Papua, yang masih terus dilanda gerakan pemisahan.



Dalam dasar luar negara, khususnya berkaitan dengan Singapura, Encik Jokowi telah banyak menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala.



Sepanjang kepimpinannya, beliau umumnya tidak mempunyai masalah atau isu dengan negara kecil Singapura.



Di bawah kepimpinan Encik Jokowi, Singapura dan Indonesia juga akhirnya dapat memuktamadkan perjanjian rumit di bawah Rangka Kerja Yang Diperluas berkaitan tiga isu dua hala yang telah lama wujud, pada rahat sebelum ini pada Januari 2022 di Bintan.



Tiga perjanjian itu ialah Perjanjian Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR); Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA); dan Perjanjian Ekstradisi (ET).



Dari segi ekonomi, dua negara ini terus saling bergantung dan terkait.



Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai pelabur asing teratas sejak 2014 dengan jumlah pelaburan negara ini di Indonesia mencapai $17.5 bilion pada 2022.



Pada 2022 juga, Singapura merupakan rakan dagang keempat terbesar Indonesia, dengan Indonesia pula rakan dagang keenam terbesar Singapura.



Perdagangan dua hala mencecah $74.6 bilion pada tahun sama.



Dari segi hubungan antara rakyat, pada 2022, Indonesia merupakan sumber utama pelawat ke negara ini dengan 1.1 juta pelawat negara itu datang ke sini, menyumbang sebanyak 17.4 peratus daripada jumlah pelawat.



Selain itu, dua negara ini juga mempunyai hubungan pertahanan yang kukuh lagi baik.



Pelbagai latihan bersama diadakan pada 2022 termasuk dalam kalangan anggota tentera darat, laut dan udara dua negara anggota pengasas Asean ini yang telah menjalin hubungan diplomatik pada 7 September 1967.



Semasa wabak Covid-19 pula, Singapura telah menyumbang dos vaksin Covid-19 ke Indonesia selain menghantar alat bekalan oksigen ke negara itu, demi membantu Indonesia memerangi penularan wabak itu.



Pada rahat kali ini, beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani antara dua pemerintah dan juga antara syarikat di dua negara itu.



Kita berharap kerjasama Singapura-Indonesia akan terus dipertingkatkan pada masa depan, melepasi tempoh pentadbiran Encik Jokowi yang sepanjang 10 tahun lalu telah banyak menyumbang kepada hubungan dua hala yang mesra dan mendalam.



Hubungan baik dalam bidang ekonomi, sosial dan keselamatan serta sektor lain seperti tenaga, kemampanan, kesihatan dan pembangunan modal insan, akan membawa manfaat bersama yang saling menguntungkan kedua-dua pihak, selain mampu mendorong pertumbuhan lebih baik di rantau Asia Tenggara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >