Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sumbangan relawan banteras pengganasan diberi penghargaan

Sep 09, 2018 | 05:30 AM



WALAUPUN usaha mengubah ideologi dan pemikiran tahanan yang terpengaruh dengan fahaman pengganas merupakan satu cabaran malah makan masa, ia juga pengalaman membuka mata bagi Ustaz Feisal Mohd Hassan.



Sebagai kaunselor agama di Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selama 15 tahun, pelbagai kes tahanan sudah pun ditanganinya.



Sebagaimana kongsi Ustaz Feisal, 44 tahun:



"Pengalaman berinteraksi dengan tahanan membuka mata saya kepada pelbagai perkara.



"Antaranya, saya lebih memahami keperluan memastikan keselamatan negara terjamin dan bagaimana kerjasama antara kementerian dan juga agensi penting dalam membasmi pengganasan dan membantu tahanan kembali kepada masyarakat selepas mereka dibebaskan."



Berkat sumbangannya itu, beliau merupakan antara sukarelawan yang diundang ke majlis makan tengah hari penghargaan anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), semalam.



Acara di Hotel Marina Mandarin itu mengiktiraf sumbangan sukarelawan masyarakat terhadap program membanteras pengganasan dan integrasi semula individu yang terlibat dalam masyarakat sekeliling.



Presiden Halimah Yacob hadir sebagai tetamu terhormat manakala Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, merupakan tetamu khas.



Dalam ucapannya, Puan Halimah menyampaikan penghargaan kepada semua sukarelawan yang berusaha membanteras pengganasan dan ekstremisme.



"Peperangan membanteras pengganasan dan ekstremisme bukan hanya usaha membasmi pengganasan.



"Ia juga merupakan ikrar terhadap kemanusiaan dan keharmonian sosial.



"Lantaran itu, saya gembira melihat ramai sukarelawan tampil bekerjasama dengan pemerintah dalam usaha ini," katanya.



Menurutnya, dengan sokongan sukarelawan masyarakat, lebih 70 tahanan yang terpengaruh dengan fahaman pengganas termasuk anggota kumpulan Jemaah Islamiyah dan individu radikal telah dibebaskan dan kembali ke pangkuan masyarakat.



Puan Halimah menambah bahawa usaha tersebut turut membantu individu lain pada peringkat awal radikalisasi agar menjauhi laluan yang berbahaya.



Sementara itu, sukarelawan yang dihargai semalam bukan sahaja membantu tahanan yang terlibat dengan kegiatan pengganas bahkan berusaha membantu keluarga mereka yang terjejas.



Pengarah Pusat Hab Perkahwinan di Angkatan Karyawan Islam (AMP), Cik Zaleha Ahmad, 52 tahun, mempunyai pengalaman meluas membantu golongan ibu dan anak yang terjejas apabila suami atau bapa mereka ditahan ekoran kesalahan berkaitan pengganasan.



"Bagi ibu-ibu ini, satu perkara yang mereka utamakan ialah pendidikan anak-anak mereka kerana mereka tahu pendidikan menyediakan laluan mencapai jaya.



"Kerana itu, kita banyak membantu mereka memastikan persekolahan anak-anak tidak terganggu dan pada masa yang sama, menyediakan bantuan kewangan atau program peningkatan kemahiran jika diperlukan," katanya.



Daripada pengamatan Cik Zaleha yang berkecimpung dalam bidang khidmat sosial selama 16 tahun, ramai isteri yang terjejas mampu berdikari dan hanya perlukan sedikit sokongan.



"Harapan kami adalah supaya keluarga-keluarga ini tidak menyimpan perasaan marah terhadap apa yang berlaku dan dapat menjalani kehidupan seperti keluarga lain," ujarnya.




“Peperangan membanteras pengganasan dan ekstremisme bukan hanya usaha membasmi pengganasan. Ia juga merupakan ikrar terhadap kemanusiaan dan keharmonian sosial. Lantaran itu, saya gembira melihat ramai sukarelawan tampil bekerjasama dengan pemerintah dalam usaha ini.”
– Presiden Halimah Yacob.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >