BELASUNGKAWA

Sumbangan Saidi Shariff dihargai hingga kini

Mantan AP Kaki Bukit antara pengasas Mendaki dan jurulatih kepimpinan Nacli

BELIAU bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati dan banyak berjasa kepada negara, tetapi hasil sumbangannya kepada masyarakat masih dapat dinikmati orang ramai sehingga hari ini.

Malah, sifat rendah hati Allahyarham Saidi Shariff juga amat menonjol dan beliau sentiasa bersedia melakukan lebih daripada apa yang dijangkakan daripadanya.

Sifat ini juga terus diingati individu yang mengenalinya yang antara lain menyifatkan mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu sebagai seorang pemimpin berhati mulia dan dekat dengan masyarakat.

Allahyarham meninggal dunia pagi semalam pada usia 79 tahun akibat serangan jantung dan masalah buah pinggang.

Mantan AP Telok Blangah, Encik Rohan Kamis, berkata beliau mengenali Allahyarham yang berkhidmat sebagai pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) di kawasan undinya sebelum beliau kemudian berkhidmat sebagai AP Kaki Bukit dari 1980 hingga 1984.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang dekat dengan akar umbi dan aktif menyumbang kepada negara ini.

Namun lebih daripada itu, Allahyarham juga amat penyayang, ujarnya.

"Apabila beliau dan isteri menunaikan haji pada 1982, saya memintanya bantu menjaga ibu bapa saya yang turut menjalankan ibadah tersebut ketika itu.

"Selepas mereka kembali, ibu bapa saya memujinya dan melahirkan penghargaan mereka akan kehadirannya," kata Encik Rohan ketika ditemui di rumah anak Allahyarham di Choa Chu Kang semalam.

Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, juga antara mantan AP yang hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Bercakap tentang sumbangan Allahyarham sebagai jurulatih kepimpinan di institut milik Persatuan Rakyat (PA) yang kini dikenali sebagai Institut Latihan Kepimpinan Masyarakat (Nacli), Encik Zainul Abidin berkata Allahyarham menanamkan semangat menyumbang kepada masyarakat dan membangun diri dalam kalangan belia ketika itu.

"Bukan saya sahaja, malah abang saya pun ikut belajar daripadanya. Saya rasa jasanya yang akan terus dikenang bukan sahaja oleh saya sendiri secara peribadi, tetapi oleh masyarakat, bangsa dan negara juga," ujarnya.

Sumbangan Allahyarham melebihi kerjaya dan bidang politik kerana beliau juga giat dalam usaha membangun masyarakat Melayu/Islam dan adalah antara anggota pengasas Yayasan Mendaki, dan menganggotai Jawatankuasa Pendidikan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman.

"Kami harap jasa beliau akan diingati dan dihargai oleh masyarakat muda kita... dan kita boleh mengambil iktibar dan contoh daripada sumbangan mereka," kata Dr Maliki.

Allahyarham juga terlibat dalam Kongres Mendaki dan berperanan penting membentuk hala tuju badan bantu diri itu sehingga mencapai tahap hari ini.

Beliau terus berbakti selepas meninggalkan politik pada 1984 dan berkhidmat sebagai anggota jawatankuasa Mendaki dari 1985 hingga 1987 serta anggota majlis Mendaki dari 1988 hingga 1989.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Rahayu Buang, berkata Allahyarham adalah antara pemimpin yang amat mementingkan pendidikan dan perkembangan pelajar Melayu/Islam.

Malah, semangat pemimpin seperti Allahyarham wajar dicontohi pemimpin dan masyarakat sekarang.

"Cabaran yang mereka hadapi dulu berbeza dengan sekarang kerana perubahan masa kini menampilkan cabaran baru.

"Namun, pemimpin dan masyarakat kita harus tetap bersemangat seperti anggota pengasas Mendaki kerana keinginan mereka melakukan sesuatu untuk mempertingkat prestasi dan keupayaan pelajar kita sangat kuat. Ini wajar dicontohi dan diteruskan," kata Cik Rahayu.

Dalam pada itu, anak sulung Allahyarham, Encik Sarwani Saidi, berkata beliau tersentuh dengan kehadiran beberapa mantan AP dan pemimpin yang masih berkhidmat melawat bapanya semasa beliau dirawat di hospital serta memberi penghormatan terakhir kepada bapanya semalam.

"Saya terharu mereka masih mengingati jasa bapa saya bukan sekadar sebagai AP tetapi juga sumbangan lainnya," ujar beliau.