Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Suri rumah timba ilmu baru demi manfaatkan media sosial

Usia lebih 60 tahun tak hambat beranikan diri masuk dunia digital
MOH
Feb 02, 2020 | 05:30 AM



UMUR yang sudah menjangkau enam dekad tidak menjadi penghalang bagi Cik Sharifah Badariah Syed Yahya Alkaff meluaskan pengetahuan dengan mempelajari kemahiran baru yang penting bagi dunia digital hari ini.



Walaupun pada mulanya beliau mengalami kesukaran, suri rumah itu memberanikan diri untuk keluar daripada zon keselesaannya, dan berusaha mendekatkan diri kepada 'kegiatan orang muda'.



Dua tahun lalu, beliau menimba kemahiran media sosial, dan kini mahir menggunakan Facebook dan YouTube, malah memasuki kedua-dua wadah popular itu setiap hari.



Tidak sekadar membantunya mengikuti perkembangan dunia digital dan kekal terhubung dengan masyarakat, Cik Sharifah, 62 tahun, menggunakan wadah-wadah itu untuk mencari resepi masakan dan menimba ilmu agama.



"Pada mulanya memang susah untuk saya belajar menggunakan Facebook dan YouTube, tapi lama-lama menjadi seronok pula. Bila sudah pandai gunakan, saya dapat menghubungi saudara-mara di luar negara dan saya kini ada ramai kawan di Facebook.



"Sekarang hari-hari saya masuk Facebook dan muat naik gambar-gambar di sana. Saya juga gunakan Facebook dan YouTube untuk mempelajari resepi baru, menonton video syarahan agama dan belajar mengenai pemakanan sihat serta cara mengelakkan penyakit," katanya.



Cik Sharifah belajar menggunakan wadah media sosial itu selepas mengikut kursus Akademi Warga Emas Nasional (NSA) berjudul Asas Media Sosial - Facebook & YouTube yang ditawarkan Mendaki SENSE pada 2018.



Beliau mendapat tahu tentang NSA selepas menghadiri jerayawara akademi itu di Toa Payoh dan Tampines.



NSA, yang ditadbir oleh agensi yang menggalak penuaan aktif di Singapura, Majlis Bagi Usia Ketiga (C3A), dilancarkan pada 2016.



Ia merupakan rangkaian institusi pendidikan posmenengah (PSEI) dan pertubuhan berasaskan masyarakat yang menawarkan pelbagai peluang pembelajaran kepada warga emas yang berumur 50 tahun dan ke atas.



Mereka yang layak boleh menikmati subsidi apabila mengambil kursus pendek di bawah NSA.



Warga emas rakyat Singapura yang ingin mengambil bahagian dalam modul tanpa ujian di PSEI hanya perlu membayar yuran rendah.



Selain mengikuti kursus mengenai media sosial, Cik Sharifah, yang minat memasak dan sering menerima tempahan, mengikuti kursus lain, seperti Komputer Asas serta Keselamatan dan Kebersihan Makanan.



Ditanya mengapa beliau berminat mengikuti kursus-kursus tersebut, Cik Sharifah berkata: "Bagi saya, bagus untuk saya belajar ilmu itu jadi saya dapat sama-sama bersaing dengan orang muda. Teknologi sekarang semakin canggih jadi memang sayang sangat kalau kita tidak belajar.



"Kursus seperti ini juga dapat memperkayakan kita kerana di Facebook dan YouTube itu ada banyak benda untuk kita belajar. Ia bukan kegiatan yang membazirkan masa jika kita gunakan dengan betul."



Wanita yang suka bercuti di luar negara itu juga berkata beliau kini sudah pandai membeli tiket pelancongan sendiri selepas lebih mahir menggunakan komputer.



Kursus Keselamatan dan Kebersihan Makanan pula diikutinya kerana beliau sering menerima tempahan membuat kek lapis dan pelbagai sajian lain.



"Selepas mengikuti kursus ini, saya lebih tahu tentang cara menyimpan makanan, menggunakan papan pemotong yang betul dan sebagainya," ujar beliau.



Bagi masa akan datang, Cik Sharifah telah meluahkan minat menyertai kursus SkillsFuture bagi Masyarakat Digital untuk mempelajari lebih lanjut tentang urus niaga elektronik, aplikasi dan menimba kemahiran digital yang dapat digunakan dalam kehidupan hariannya.



Pelajari kemahiran baru hari ini dengan mencari kursus-kursus di laman NSA, www.nsa.org.sg, atau hubungi talian NSA di 6478 5029. Talian itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.



  • Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH).


"Pada mulanya memang susah untuk saya belajar menggunakan Facebook dan YouTube, tapi lama-lama menjadi seronok pula. Bila sudah pandai gunakan, saya dapat menghubungi saudara-mara di luar negara dan saya kini ada ramai kawan di Facebook. Sekarang hari-hari saya masuk Facebook dan muat naik gambar-gambar di sana. Saya juga gunakan Facebook dan YouTube untuk mempelajari resepi baru, menonton video syarahan agama dan belajar mengenai pemakanan sihat serta cara mengelakkan penyakit."
- Cik Sharifah Badariah Syed Yahya Alkaff.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >