BELIA yang dituduh menyerang dua lelaki di tempat letak kereta Boon Lay Drive pada 6 April kini didakwa menjadi anggota kongsi gelap.
Kededua lelaki itu dikenakan dua tuduhan di bawah Akta Pertubuhan pada Isnin (25 April).
Muhammad Sajid Saleem, 20 tahun, dituduh menjadi anggota kongsi gelap antara Julai 2020 dan April tahun ini.
Seorang lagi belia, 19 tahun, didakwa menjadi anggota pertubuhan tersebut antara 2016 dan April tahun ini.
Dia berusia 14 tahun pada 2016 dan tidak boleh dikenal pasti memandangkan mereka yang dituduh melakukan kesalahan sebelum mencapai usia 18 tahun dilindungi Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.
Kededuanya menghadapi empat tuduhan setiap seorang.
Awal bulan ini mereka didakwa dengan dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Bagi setiap tuduhan di bawah Akta Pertubuhan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun atau didenda hingga $5,000.