Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Susuli pengumuman skim laluan perjalanan bagi orang divaksin (VTL)

Agensi pelancongan optimis skim akan dorong permintaan bagi percutian

Aug 27, 2021 | 05:30 AM



AGENSI pelancongan setempat rasa yakin skim laluan perjalanan bagi orang yang divaksin (VTL) yang akan berkuatkuasa mulai 8 September ini - sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini - akan mendorong permintaan bagi percutian.



Mereka sudah mula menerima beberapa pertanyaan terutamanya percutian ke Jerman untuk musim cuti hujung tahun ini.



Agensi pelancongan yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata skim VTL itu amat dialu-alukan ramai rakyat Singapura yang tidak dapat bercuti selama hampir dua tahun sejak sempadan ditutup pada Mac tahun lalu.



Sebagai permulaan, skim VTL itu membolehkan pelancong dari Jerman dan Brunei yang divaksin sepenuhnya mengunjungi Singapura tanpa perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).



Namun, mereka harus menjalani beberapa ujian reaksi rantaian polimerase (PCR), termasuk apabila tiba di negara ini.



Ia merupakan sebahagian langkah negara membuka sempadan secara berperingkat dan berhati-hati semasa pandemik ini.



Jerman sebelum ini hanya membuka sempadannya secara sepihak kepada Singapura, sementara Brunei pula belum membenarkan percutian ke negaranya.



Eksekutif utama dari syarikat Travel Wander, Cik Mabel Cheang, berkata pertanyaan berkaitan percutian ke Jerman telah meningkat sejurus skim VTL itu diumumkan, terutamanya bagi pelancongan hujung tahun.



Agensi itu merancang menawarkan pakej ke Jerman, khusus dalam percutian aktif dan mempunyai program kembara serta aktiviti berbasikal, yang membolehkan pelancong meneroka kedua-dua bahagian kota dan desa negara itu.



"Ia akan mendorong permintaan bagi percutian kerana sudah lebih setahun sejak terakhir rakyat Singapura boleh melancong untuk bercuti dan Jerman satu destinasi yang ada banyak tawaran sepanjang tahun," kata beliau.



Namun, Cik Cheang berkata permintaan bagi percutian mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk pulih kembali - berbeza dengan permintaan yang selalu ada bagi individu yang perlu ke luar negara bagi tujuan perniagaan atau mengunjungi keluarga dan rakan - disebabkan beberapa faktor.



Antaranya jumlah hari minimum yang mereka perlu berada di Jerman dan kos bagi ujian PCR.



"Mereka yang ingin bercuti mungkin tidak minat melancong melainkan lebih banyak negara di Eropah dibuka, sekali gus membolehkan pelancongan rentas negara," kata beliau.



Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, pula berkata skim VTL itu satu berita baik kerana tanpanya, orang ramai harus lakukan SHN walaupun selepas pelancongan yang pendek.



"Ini sudah tentu akan menggalak lebih ramai untuk melancong dan ini adalah apa yang pemerintah inginkan.



"Lapangan Terbang Changi akan kembali meriah, syarikat penerbangan juga semakin rancak dan semuanya akan kembali seperti dahulu secara beransur-ansur," ujarnya.



Beliau juga berharap VTL itu boleh dilanjutkan ke negara Arab Saudi.



Syarikatnya sudah menyiapkan katalog percutian ke Jerman dan jika cukup permintaan serta tarikh pakej sesuai dengan pelanggan, mereka boleh mulakan pelancongan ke negara itu.



Bagi Brunei, Encik Ayoob berkata pihaknya belum lagi ada perancangan untuk ke sana, tetapi agensinya sedia membantu sekiranya ada rombongan dari negara itu yang ingin berkunjung ke sini.



Menurut statistik Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Jerman menduduki tempat ke-15 dari segi jumlah ketibaan pengunjung ke Singapura mengikut geografi, dengan 380,760 pelancong dari negara itu datang ke sini pada 2019.



Brunei pula menduduki tangga ke-27, dengan 72,600 pelancong pada 2019.



Meskipun ramai yang mengalu-alukan pengumuman VTL itu, ada juga yang lebih berhati-hati dan terdapat segelintir yang bimbang perkara serupa yang berlaku dengan Hong Kong boleh terjadi sekali lagi dengan skim baru itu.



Singapura dan Hong Kong sepatutnya melancarkan gelembung perjalanan udara sebelum ini tetapi ia tertunggak beberapa kali dan kini tidak lagi akan dilancarkan.



Sementara itu, Jerman juga sedang mengalami gelombang jangkitan Covid-19 yang keempat disebabkan varian Delta yang lebih berjangkit.



Pengarah TravelConnect.sg, Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman, berkata pelancong tentu sekali akan kecewa sekiranya senario seperti yang berlaku dengan Hong Kong berulang gara-gara skim VTL itu kerana mereka akan perlu menunda perjalanan dan ini menjejas cuti kerja yang telah pun diambil.



"Bagi pihak kami pula, sekali lagi akan terdapat banyak proses untuk menyusun tarikh baru dan menempah semula penerbangan dan penginapan," kata beliau.



Namun, Pengarah Atlas Travelz, Cik Joey Sim, lebih positif sambil berkata Jerman kelihatan telah menerima Covid-19 sebagai endemik dengan garis panduan dasar yang telus berdasarkan kadar jangkitan mereka.



Agensinya menyediakan pakej ke beberapa destinasi Eropah termasuk Jerman, Switzerland dan Italy.



"Lebih-lebih lagi, langkah pengurusan selamat mereka dikuatkuasakan dengan lebih ketat. Contohnya, pelitup N95 perlu dipakai dalam pengangkutan awam.



"Oleh itu, tidak mungkin laluan perjalanan dalam hal ini akan dibatalkan sekiranya tidak berlaku lonjakan jangkitan secara tiba-tiba," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >