Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Susuri kembali sejarah Fort Siloso

Feb 17, 2021 | 05:30 AM



LUKISAN-lukisan mural di atas jalan menyambut kedatangan kami ke Fort Siloso kelmarin.



Di situlah bermula perjalanan pihak media menelusuri beberapa tempat bersejarah di kawasan Siloso di Pulau Sentosa untuk Lawatan Penemuan Semula Fort Siloso 2021.



Kami kemudian dibawa ke suatu kawasan menuju ke Jeti Siloso, yang sebelum ini tidak dibuka kepada orang awam.



Jeti ini pernah menjadi tempat pelabuhan kapal yang membawa bahan-bahan untuk membina kubu-kubu di sekitar Pulau Sentosa pada era 1870-an, bagi melindungi Singapura daripada ancaman lanun satu ketika dahulu.



Apa yang tinggal dari tapak jeti ini, yang kini sudah runtuh ditelan zaman, hanya beberapa tiang yang masih berdiri tegap di Pantai Siloso.Cuaca berangin pagi itu membawa suasana nyaman di tapak jeti.



Sejurus kemudian, kami berjalan menuju ke Kompleks Terowong A di mana beberapa senjata peninggalan zaman perang menemani kami di tepian jalan ke kompleks terowong itu.



Di terowong itu, kami kemudian dibawa ke tempat sebesar ruang tamu kecil, di mana senjata-senjata seperti periuk api disimpan dan diuji. Ruang itu kini hanya dibuka untuk lawatan khas ini.



Kemudian, kami bergerak menuju ke stesen carian cahaya (search light station) yang terletak di pesisiran pantai.



Stesen cahaya itu digunakan oleh pihak British untuk memantau kemasukan kapal-kapal musuh ke pelabuhan di Singapura, oleh itu, ia ditempatkan di kawasan yang agak tersembunyi.



Untuk sampai ke stesen tersebut, kami perlu mendaki dan menuruni beberapa laluan curam dan licin di dalam hutan.



Di sinilah keberanian penulis dicabar.



Namun begitu, dengan adanya tali keselamatan yang disediakan untuk para peserta menuruni laluan itu, bersama kehadiran pemandu pelancong yang mahir, rasa takut itu hilang.



Sangat berbaloi rasanya apabila kami tiba di stesen carian cahaya itu.



Di sana, kami dapat melihat bagaimana pihak British membuat pemantauan kapal-kapal musuh yang masuk.



Setelah mendaki semula laluan itu, kami berehat sebentar di kawasan kebun kecil yang menanam makanan asas semasa perang, seperti pokok ubi, pokok tebu dan sayur kangkung.



Lawatan kami berakhir di Ruang Penyerahan, di mana patung-patung pihak British dan Jepun dipaparkan semasa membuat perjanjian penyerahan.



Penyerahan pertama berlaku pada 1942 apabila pihak British menyerahkan Singapura kepada pihak Jepun, dan kali kedua pula pada 1945 semasa askar Jepun menyerah kalah kepada negara-negara Sekutu ketika Perang Dunia Kedua.



Lawatan kami itu bertujuan untuk membawa para pelawat meneroka sejarah Fort Siloso dan peranan yang dimainkan dalam sejarah maritim Singapura, dan tiga kawasan khas yang dibuka kepada peserta.



Lawatan Penemuan Semula Fort Siloso merupakan antara program menarik yang diadakan Lembaga Warisan Negara (NHB) bersempena ulang tahun ke-79 kejatuhan Singapura ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942, bagi menyingkap kembali sejarah Perang Dunia Kedua.



Program-program itu akan berlangsung dari 20 Februari sehingga 14 Mac 2021.



Encik Gerald Wee, Pengarah Perhubungan Antarabangsa & Muzium di NHB, berkata:



"Menerusi Pertempuran bagi Singapura 2021, kami berharap rakyat Singapura akan meneroka semula sejarah bukan sahaja di mercu-mercu tanda dan tapak bersejarah yang biasa dikunjungi, bahkan juga kawasan-kawasan dan juga kisah-kisah yang tidak diketahui ramai mengenai sejarah Perang Dunia Kedua negara kita."



Selain lawatan ini, beberapa program lain yang ditawarkan untuk tahun ini ialah lawatan berpandu ke tempat bersejarah lain di sekitar Singapura dan juga program webinar mengenai sejarah Singapura.



Pendaftaran bagi lawatan-lawatan berpandu telah ditutup, tetapi beberapa program webinar masih dibuka.



Maklumat lanjut boleh didapati di laman web bsg2021.peatix.com.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >