Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERALIHAN KEPIMPINAN PAP

Swee Keat berpengalaman galas pelbagai jawatan

Muncul sebagai hanya tokoh kedua dalam sejarah politik Singapura di mana seorang AP baru terus dilantik menteri penuh selepas pilihan raya
Nov 24, 2018 | 05:30 AM



MENTERI Kewangan, Encik Heng Swee Keat, 57 tahun, menyertai politik pada 2011 dan terus dilantik menjadi menjadi menteri penuh selepas dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) baru di GRC Tampines - perkara yang jarang berlaku.



Pelantikan begitu berlaku hanya sekali sebelum ini - kepada mantan Menteri Kewangan, Encik Richard Hu.



LATAR BELAKANG



Encik Heng adalah Menteri Pendidikan dari Mei 2011 hingga September 2015 sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Oktober 2015.



Sebelum memasuki politik, beliau adalah pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), setiausaha tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan setiausaha peribadi utama kepada mantan Menteri Kanan Lee Kuan Yew dari 1997 hingga 2000. Beliau juga pernah menjadi pegawai polis dan pegawai kanan perkhidmatan awam.



Lahir pada 1961, Encik Heng adalah dari suku kaum Teochew tetapi boleh bertutur Hokkien dengan lancar.



Dalam satu interviu, Encik Heng berkata beliau pernah tinggal di kawasan banyak 'gangster' di Redhill.



Selepas tamat sekolah rendah, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Raffles Institution (RI). Beliau seronok menuntut di situ dan aktif dalam Kelab Interact, terlibat dalam menerbitkan majalah sekolah itu, bermesra dengan elektronik dan bermain bola tampar.



Selepas peperiksaan GCE 'A' di RI, beliau mendapat biasiswa polis untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Cambridge.



Semasa menuntut di Britain, beliau sempat bercuti di Eropah dan berkhidmat seketika dengan Polis Surrey dan Polis Metropolitan London.



Di Cambridge, Encik Heng bertemu isterinya, Cik Chang Hwee Nee, penerima biasiswa Presiden. Beliau kini ketua pegawai eksekutif Lembaga Warisan Negara.



Mereka mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 20-an tahun.



Ketika ditanya dalam satu interviu, Encik Heng berkata beliau tidak menganut agama tetapi dibesarkan sebagai penganut agama Buddha dan mengunjungi kuil.



Encik Heng seronok bertugas selama 15 tahun dalam pasukan polis. Antara lain, beliau terlibat dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar kepolisan masyarakat dan menghabiskan masa lima tahun di Jabatan Siasatan Jenayah.



Beliau juga menghadiri Kursus Staf dan Komando selama sembilan bulan yang dikendalikan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Pangkat terakhirnya ialah penolong pesuruhjaya.



Pada 1997, Encik Heng berpindah ke Perkhidmatan Pentadbiran. Beliau bertugas seketika di Kementerian Pendidikan (MOE), menjawat setiausaha tetap MTI dan pengarah urusan MAS.



PENGIKTIRAFAN



Selama tiga tahun pada akhir 1990-an, beliau merupakan setiausaha peribadi utama kepada Menteri Kanan Lee Kuan Yew. Beliau menyifatkan tugas itu sebagai kemuncak kerjayanya dalam perkhidmatan awam.



Menurut Encik Heng, beliau banyak belajar dengan melihat bagaimana Encik Lee berinteraksi dengan pemimpin dunia dan menyaksikan bagaimana beliau melihat isu-isu sukar seperti krisis kewangan Asia 1997.



Ia adalah "proses osmosis yang baik", kata Encik Heng.



Mendiang Encik Lee pernah menggambarkan beliau sebagai "setiausaha peribadi utama terbaik yang pernah saya ada".



Pengalaman dan pengetahuan yang Encik Heng perolehi daripada Encik Lee menjadi berguna satu dekad kemudian ketika krisis kewangan global melanda semasa beliau merajui MAS.



Singapura dapat keluar daripada krisis itu.



Tahun-tahun perkhidmatan beliau dalam perkhidmatan awam telah mengajarnya bahawa terdapat dua jenis dalam membuat keputusan.



Terdapat keputusan yang perlu dibuat segera, seperti ketika beliau bertugas di barisan depan dalam pasukan polis dan ketika menjadi Menteri Pendidikan apabila sekumpulan pelajar Singapura dilanda gempa bumi di Gunung Kinabalu, Sabah.



Ada juga keputusan yang memerlukan lebih banyak masa, pemikiran dan konsultasi - seperti membatalkan skor-T PSLE di sekolah.



Selepas Encik Heng membentangkan bajet, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau gembira Encik Heng menggambarkan bajet tahun itu sebagai salah satu yang bukan sahaja memenuhi keperluan generasi hari ini, malah menyumbang kepada keperluan generasi akan datang.



"Ia memperlihatkan bahawa para menteri 4G memahami bahawa tanggungjawab mereka yang paling mendalam adalah menjadi pelayan Singapura," kata PM Lee.



Beliau juga menerima pengesahan daripada mantan perdana menteri Goh Chok Tong, yang menunjukkan Encik Heng tanda jempol ibu jari ketika mereka bertemu di Dewan setelah Encik Heng selesai menggulung pembentangan Bajetnya.



Encik Heng juga menerima beberapa anugerah, termasuk dijadikan Felo Kehormat Persatuan Ekonomi Singapura. Anugerah seumur hidup itu telah diberikan sebagai pengiktirafan sumbangannya dalam membuat dasar-dasar ekonomi.



CABARAN KESIHATAN



Pada Mei 2016 semasa mesyuarat Kabinet, Encik Heng diserang angin ahmar (aneurisme otak - bengkak atau gelembung pada arteri).



Beliau kini telah pulih sepenuhnya. Doktornya telah memberinya prognosis yang sangat baik dan beliau telah meneruskan semua kerja-kerja akar umbi dan kembara jarak jauh.



PM Lee juga pernah mengidap barah limfoma - barah sel darah putih - pada 1992. Beliau sembuh selepas rawatan kemoterapi dan menjadi Perdana Menteri pada 2004 - 12 tahun kemudian.



GALAS PELBAGAI TUGAS



Encik Heng menggalas banyak tugas di kementerian besar dan jawatankuasa nasional - selain pernah menjadi Menteri Pendidikan dan kini Menteri Kewangan - tugas yang pernah digalas perdana menteri dan timbalan perdana menteri dahulu dan sekarang.



Di samping itu, Encik Heng mempengerusikan Perbincangan Singapura Kita (Our Singapore Conversation) - bagi kempen maklum balas nasional Singapura pada 2013, dan menerajui perayaan jubli emas Singapura (SG50).



Beliau juga mengetuai Majlis Ekonomi Masa Depan, yang disifatkan sebagai tugas utama mengubah ekonomi Singapura bersiap menghadapi masa depan.



PM Lee mengetuai jawatankuasa ekonomi serupa pada 1985.



Encik Heng juga mendapat beberapa pendedahan kepada pemimpin dunia, seperti menerima Presiden China Xi Jinping semasa lawatannya ke sini dan menemani PM Lee ke Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Turkey.



GAYA KEPIMPINAN



Semasa isu pemimpin baru menjadi perbincangan, antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin 4G sendiri ialah tentang kerja berpasukan.



Berhubung perkara ini, Encik Heng berkata: "Walau terdapat tumpuan mengenai siapa yang boleh menjadi pemimpin Kabinet, adalah penting mempunyai pasukan yang kuat dan padu dalam sistem politik Singapura dan membina semangat berpasukan yang kritikal ini."




BIODATA HENG SWEE KIAT



Usia: 57 tahun



Keluarga: Mempunyai dua anak 20-an tahun - lelaki dan perempuan



1995: Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan



1997: Setiausaha Peribadi Utama kepada Menteri Kanan Lee Kuan Yew



2001: Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan



2005: Pengarah Urusan, Penguasa Kewangan Singapura (MAS)



2011: Ceburi politik - AP bagi GRC Tampines. Dilantik Menteri Pendidikan



2015: Menteri Kewangan hingga sekarang




''Walau terdapat tumpuan mengenai siapa yang boleh menjadi pemimpin Kabinet, adalah penting mempunyai pasukan yang kuat dan padu dalam sistem politik Singapura dan membina semangat berpasukan yang kritikal ini.''
- Encik Heng Swee Kiat, mengulas semasa isu pemimpin baru menjadi perbincangan baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >