KADAR pengangguran di Singapura telah meningkat dan mungkin bertambah lagi, kata Menteri Tenaga Manusia, Encik Lim Swee Say, dalam amanatnya sempena Hari Buruh.
Ini memandangkan beberapa sektor dalam ekonomi masih terjejas dengan perubahan struktur.
Namun, beliau menegaskan kenaikan kadar pengangguran sekarang masih rendah berbanding kemuncaknya semasa negara ini dilanda penularan penyakit Sars dan semasa krisis kewangan global 2009.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi ekonomi sekarang bagaimanapun "tidak kurang menggentarkan" berbanding masa lalu.
Encik Lim berkata demikian dalam amanat tahunannya sempena Hari Buruh Isnin ini.
Kadar pengangguran bagi pekerja setempat meningkat 3 peratus tahun lalu, selepas kadarnya stabil sekitar 2.8 peratus sejak 2012.
Ini mencerminkan ekonomi yang perlahan, yang tumbuh sekitar 2 peratus dalam dua tahun lalu, merosot daripada kadar pertumbuhan purata 4.5 peratus sebelumnya.
"Ekonomi kita masih berkembang, tidak menguncup," kata beliau. - ST