Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Syabas kaum Hawa!

Mar 07, 2019 | 05:30 AM



Mereka merupakan antara wanita Melayu/Islam yang berbakat dan berkebolehan di Singapura. Di samping cemerlang dalam bidang yang diceburi dan menyumbang kepada masyarakat, mereka membuktikan bahawa jantina bukan hambatan untuk mencapai kejayaan, berkat semangat dan usaha mereka sendiri. Bahkan, mereka turut membuktikan bahawa kaum Hawa juga mampu berjaya dalam pelbagai bidang yang turut disertai kaum Adam, sambil mengimbangi dengan peranan mereka yang lain sebagai isteri, ibu, anak, kakak dan sebagainya. Menjelang Hari Wanita Antarabangsa esok, ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) bertemu dengan sembilan wanita bersemangat waja ini, termasuk Presiden Halimah Yacob. Ikuti laporan berikut.



KEMAJUAN wanita Melayu/Islam setempat, yang meliputi pelbagai bidang, mencerminkan juga kematangan fikiran masyarakat yang menghargai peranan yang boleh dipikul dan sumbangan yang boleh diberikan kaum Hawa.



Menyifatkan pencapaian wanita Melayu/Islam sebagai "membanggakan", Presiden Halimah Yacob berkata kerencaman bidang yang disertai wanita tersebut juga melambangkan keadaan mereka yang semakin yakin dengan kedudukan mereka dalam masyarakat.



Ini lantas mendorong wanita menceburi bidang-bidang baru yang sebelum ini kurang 'diminati' mereka.



"Tidak ada sebab mengapa wanita kita tidak boleh melakukan sesuatu yang dilakukan orang lain. Yang penting mereka mempunyai sikap yang betul, keupayaan dan minat," ujar Presiden Halimah.



Dalam wawancara dengan Berita Harian sempena Hari Wanita Antarabangsa esok, Presiden Halimah menekankan sedang kemajuan wanita di sini boleh dibanggakan, namun perlu ada sokongan yang lebih kukuh bagi membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya dalam menyumbang secara lebih bermakna kepada keluarga, masyarakat dan ekonomi.



Menurutnya, wanita masih lagi melakukan sebahagian besar tanggungjawab keluarga di rumah meskipun perlu keluar bekerja sepenuh masa.



Wanita sedemikian, kata Presiden Halimah, bekerja untuk menyediakan pendapatan keluarga yang lebih stabil lebih-lebih lagi dalam pasaran pekerjaan yang tidak menentu.



"Ini memaksa wanita untuk mengambil keputusan sukar seperti bekerja separuh masa dengan pendapatan lebih rendah atau melakukan pekerjaan lebih mudah yang tidak sejajar dengan kelayakan mereka. Ini supaya mereka dapat bekerja sambil menjaga keperluan keluarga.



"Satu huraian ialah dengan memastikan adanya program pekerjaan dan keluarga di tempat kerja yang dapat membantu wanita melakukan kededua tanggungjawab itu," ujar beliau.



Presiden Halimah berkata pemerintah menyediakan pelbagai insentif bagi majikan untuk mewujudkan sekitaran sedemikian. Bagaimanapun, penerimaan masih lagi belum pada tahap yang diinginkan, katanya.



Sebagai contoh, beliau berkata meskipun Singapura antara negara dengan penggunaan Internet tertinggi di dunia, tidak ramai majikan yang memanfaatkan teknologi bagi membolehkan wanita bekerja dari rumah.



Sementara itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pula baru memperkenalkan dana permulaan untuk Majlis Pertubuhan Wanita Singapura merintis sebuah inisiatif bagi pembangunan wanita setempat.



"Ini akan membantu wanita menyumbang secara lebih aktif dalam pembangunan masyarakat, sektor yang mempunyai kepimpinan wanita yang kukuh. Kita juga perlu mendekati dan mendorong lebih ramai wanita muda untuk tampil dan memikul peranan kepimpinan," tambahnya.



Mengenai wanita setempat dan peranan kepimpinan, Presiden Halimah berkata meskipun masih ada kekurangan, Singapura telah mencapai banyak kemajuan dalam hal tersebut.



Secara menyeluruh, sepanjang dekad lalu, Singapura mempunyai barisan pemimpin wanita yang wajar dibanggakan lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.



Menurut beliau, kemajuan itu antara lain boleh dilihat dalam bidang politik di mana sekitar 25 peratus Anggota Parlimen adalah wanita dan terdapat tiga wanita yang menyandang jawatan menteri penuh.



Justeru, negara ini perlu terus menggandakan usahanya untuk menyokong lebih ramai wanita maju dalam kerjaya mereka sehingga mampu memikul tanggungjawab penting, sama ada dalam sektor awam mahupun privet.



Menceritakan pengalaman beliau sendiri, sepanjang kerjayanya dalam bidang kesatuan sekerja, politik dan kini memegang jawatan tertinggi negara, Presiden Halimah berkata beliau bersyukur mempunyai keluarga yang menyokong dan memahami.



"Tidak mudah, lebih-lebih lagi semasa anak-anak masih kecil, memang begitu mencabar. Saya sering bersengkang mata, jadual saya sering berubah dan saya sentiasa mengorbankan masa peribadi saya.



"Jadi saya beruntung mempunyai ibu yang membantu menjaga anak-anak dan suami yang menyokong kerjaya saya.



"Tapi hakikatnya, tiada apa yang dapat menggantikan kerja keras, komitmen dan kesungguhan jika kita mahu mencapai kemajuan. Setiap tugas yang diberikan kepada saya, saya pikul sebagai satu amanah penting yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan sepenuh tanggungjawab," kata beliau.




" Saya mengimpikan saat apabila kita tidak lagi perlu berfikir dari segi jantina tetapi sebaliknya menghargai setiap individu berdasarkan kebolehan dan keupayaan semata-mata. Saya mengimpikan dunia di mana cucu perempuan saya dapat menebarkan sayapnya dan terbang setinggi mungkin dan melakukan apa sahaja yang dicita-citakan."
- Harapan Presiden Halimah Yacob bagi semua wanita sempena Hari Wanita Antarabangsa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >