SETELAH mendengar berita penunggang basikal elektronik (e-basikal) atau basikal menggunakan kuasa (PAB) harus lulus ujian teori sebelum dibenarkan menunggang di jalan raya kelmarin, Encik Muhd Khairul Seman membincang perkara itu bersama rakan-rakannya.
Penghantar makanan sepenuh masa berumur 36 tahun itu berkata baginya ujian teori itu bukan satu halangan kerana beliau pernah ada lesen motosikal.
"Bagi saya mengambil ujian teori itu okey. Ia satu langkah baik, terutama bagi penunggang e-basikal muda dan baru.
"Dengan ujian itu, semua penunggang akan lebih memahami tatatertib di jalan raya dan tidak menunggang sembarangan," ujar bapa empat anak itu.
Namun, beliau melahirkan harapan setelah penunggang e-basikal lulus ujian teori dan dibenarkan menunggang di jalan raya, pemandu kereta, bas atau lori akan bersikap lebih menerima kehadiran mereka.
"Kami hanya boleh menunggang pada kelajuan maksimum 25 kilometer sejam. Agak perlahan, tetapi kami akan menunggang di lorong paling kiri kecuali apabila membeluk ke kanan.
"Memandangkan kami perlahan, saya harap pemandu lain akan bersabar dan memahami keadaan kami.
"Kadang-kadang bukan kami nak menunggang di jalan raya, tetapi terpaksa kerana tiada laluan penghubung bagi penunggang basikal," ujar Encik Khairul, melahirkan keprihatinannya tentang keselamatan penunggang e-basikal di jalan raya.
Encik Khairul berkata beliau pernah menghadapi pemandu kurang bersabar di jalan raya, jadi beliau harap mereka akan bersikap lebih bersabar dan menerima penunggang e-basikal.
"LTA sudah membenarkan kami menunggang di jalan raya. Jadi saya harap pada masa depan e-basikal juga akan diberi pilihan mengambil insurans e-basikal sebagai langkah perlindungan jika apa-apa berlaku di jalan raya dan merosakkan kenderaan kami," tambahnya.
Seorang lagi penunggang e-basikal, Encik Muhammad Razif Mohamed Sarib, juga prihatin akan keselamatan beliau di jalan raya ketika menunggang e-basikal.
"Pada saya, menunggang e-basikal di jalan raya tidak selamat dan pemandu lain menganggap kami sebagai gangguan," kata penghantar makanan sambilan Grab berusia 37 tahun itu.
"Dengan ujian teori ini, saya harap penunggang e-basikal akan lebih peka tentang keselamatan di jalan raya.
"Pada masa sama, saya rasa ujian teori sahaja mungkin tidak mencukupi. Digabungkan dengan ujian praktikal, ia akan memberi persiapan keselamatan lebih lengkap bagi penunggang e-basikal, terutama yang muda," tambahnya.
Encik Razif juga berharap pemerintah akan meningkatkan had kelajuan e-basikal apabila lebih penunggang peka mengenai keselamatan di jalan raya.
Tindakan menaiki e-basikal di jalan raya sebelum lulus ujian teori akan menjadi satu kesalahan di bawah pindaan undang-undang trafik yang disarankan.
Rang Undang-Undang pindaan ke atas Akta Trafik Jalan Raya itu dibentangkan di parlimen kelmarin, bagi menjadikannya sejajar dengan Akta Mobiliti Aktif, yang dipinda tahun lalu bagi memerlukan pengguna PAB lulus ujian teori sebelum boleh menunggang kenderaan mereka di laluan basikal atau laluan yang dikongsi.
Penunggang PAB hanya perlu lulus satu ujian teori dalam talian di bawah dua akta itu, dan ditadbir oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dengan perubahan yang disarankan itu.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata ujian tersebut akan merangkumi modul mengenai keselamatan di laluan dan di jalan raya bagi memastikan penunggang mengetahui peraturan mobiliti aktif, kod tingkah laku umum, dan tingkah laku menunggang selamat.