Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SYARAHAN AWAM CENDEKIAWAN ISLAM DARI SYRIA, SHAYKH SAYYID MUHAMMAD AL-YAQOUBI

Syariah bertujuan lindung, bukan beratkan kehidupan

Mar 22, 2018 | 05:30 AM



SEORANG pencuri ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah Sayidina Omar Al-Khattab.



Namun, Sayidina Omar tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kerana lelaki itu mencuri makanan untuk keluarganya lantaran kebuluran.



Dalam peristiwa lain, dua hamba mencuri unta tuannya dan tertangkap lalu dihadapkan kepada Sayidina Omar.



Apabila mendapati mereka kurus, sakit, tidak cukup makan dan dilayan dengan buruk oleh tuan mereka, khalifah tidak menghukum mereka dan sebaliknya menyuruh tuan dua hamba itu supaya melayan mereka dengan baik sebelum menghadapkan mereka kepadanya.



Dua contoh ini adalah antara beberapa contoh yang diketengahkan oleh cendekiawan Islam dari Syria, Shaykh Sayyid Muhammad Al-Yaqoubi, semasa menerangkan betapa Islam adalah agama mudah, sederhana dan amat bertimbang rasa.



Syariah Islam, jelas beliau, tidak memberatkan penganutnya.



Syariah sebelum Islam, kata beliau, adalah berat.



Misalnya, antara cara taubat ialah membunuh diri dan solat mesti dilakukan di tempat tertentu.



"Ajaran yang dibawa Nabi kita memudahkan," kata beliau semasa menyampaikan syarahan awam dalam bahasa Inggeris bertajuk Memberikan Respons Kepada Salah Tanggapan Islam: Peranan Asatizah di Auditorium Masjid Khadijah baru-baru ini.



Shaykh Sayyid Muhammad, yang tersenarai sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia dan penulis buku Refuting ISIS: A Rebuttal Of Its Religious And Ideological Foundations, hadir dalam rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) baru-baru ini.



Beliau berkata hukum fikah adalah untuk mengatur kehidupan tetapi dalam beberapa keadaan, ada kelonggaran.



Doktor yang melakukan pembedahan ke atas pesakit melewati waktu solat misalnya, boleh menangguhkan solat lantaran keadaan yang mendesak kerana syariah mengutamakan nyawa; seseorang boleh bertayamum jika menghadapi masalah mendapatkan air untuk berwuduk.



"Ini adalah kaedah fikah.



"Objek utama syariah ialah melindungi nyawa, harta, keturunan, kehormatan, kewarasan, dan sebagainya.



"Apabila ada pengamalan yang menjejas perkara yang Allah mahu anda lindungi, anda perlu lakukan sesuatu.



"Syariah bertujuan melindungi kehidupan, bukan membebankan kehidupan. Ia menjadikan kehidupan mudah, licin, melindungi harta kita, membawa keceriaan," kata beliau.



Menyentuh tentang hukum hudud seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri, beliau berkata hukum itu sebenarnya sukar dilaksanakan kerana syaratnya ketat.



Misalnya, seseorang yang mencuri daripada rakan kongsi, tangannya tidak boleh dipotong kerana ada unsur perkongsian; penyeluk saku tidak dihukum potong tangan kerana bukan mencuri daripada peti simpanan; dan beberapa contoh keadaan lain.



"Kesalahan mencuri mesti dihukum tetapi tidak semestinya sampai hukum potong tangan.



"Syariah tidak bertujuan menjadikan orang cacat.



"Hukuman dalam syariah bertujuan sebagai pencegah - mencegah orang daripada melakukan kesalahan, bukan semata-mata potong tangan dan membuat orang menjadi kurang upaya," jelasnya.



Pelaksanaan hukum, ujar Shaykh Sayyid Muhammad, menuntut aspek seperti kelayakan, disiplin, pengetahuan mendalam dalam bahasa Arab, sejarah, hadis dan kaedahnya, dan banyak lagi aspek bagi menjadi mujtahid.



Beliau menyebut sepotong hadis bahawa Nabi Muhammad saw berkata agama ini mudah - jadikan ia mudah, jangan sukarkan.



"Maka itu bawa kegembiraan, jangan takutkan orang pada Islam.



"Apabila berhadapan dengan dua keadaan, Nabi akan memilih yang mudah," kata beliau sambil menerangkan bahawa teras syariah dan tujuan Rasulullah dikirim ke dunia ialah menjadi rahmat kepada sekelian alam.



Dalam ceramah itu, Shaykh Sayyid Muhammad juga menjelaskan bahawa fikah adalah satu daripada aspek Islam.



Aspek lain dalam Islam juga perlu diperhatikan, kata beliau sambil memetik hadis mengenai kunjungan malaikat Jibrail kepada Nabi saw dan bertanya tentang Islam, iman dan ihsan.



Maka itu, umat juga harus memahami aspek seperti tauhid, adab dan hati.



Amal tanpa iman, ujarnya, tidak berasas; dan iman dan amal tanpa ikhlas juga tidak cukup.



Soal khusyuk, rasa takwa, mensucikan hati dan menghindarkan perasaan seperti riyak memerlukan komponen lain seperti tasauf.



"Agama kita adalah satu unit. Kita tidak boleh ambil satu dan tinggalkan yang lain.



"Rasul dihantar kepada kita untuk mengajar kitab, hikmah (kebijaksanaan) dan pensucian diri.



"Tasauf ialah mengenai ihsan. Aspek ini dalam Al-Quran disebut pembersihan hati, ilmu qulb," kata beliau.



Shaykh Sayyid Muhammad juga menekankan perlunya adab dan hikmah dalam pengamalan agama dan dakwah.



"Dalam mendidik anak dan menyampaikan nasihat agama, unsur penting selain pengetahuan ialah adab - bagaimana berkelakuan dalam masyarakat, adab pada Allah, pada Rasulullah, adab di masjid, adab terhadap guru, dengan ibu bapa, malah dengan pena, buku agama, pada bahasa Arab, terhadap rakan dan cara memanggil manusia. Semua ini penting," jelas beliau.




APA KATA SHAYKH SAYYID MUHAMMAD AL-YAQOUBI



"Apabila anda mengikut mazhab Syafie, yakinlah bahawa anda solat seperti solat Rasulullah saw kerana Imam Syafie menjelaskan berdasarkan keterangan gurunya yang bersusur galur ke zaman Rasulullah. Begitu juga jika anda mengikut Imam Hanafi, anda benar; anda ikut Imam Maliki atau Hambali, anda benar. Maka itu Sunni adalah salafi yang sebenar... kita adalah pengikut sebenar kitab Allah dan Sunnah."



"Jika anda tidak tahu dan mahu belajar, anda bukan jahil. Jahil sebenar ialah mereka yang enggan belajar. Ia lebih rumit - seseorang yang tidak tahu dan menyangka dia tahu; atau dia menyatakan sesuatu itu salah dan menyangka apa yang dia tahu itu betul walhal salah...



"Lebih banyak kita baca dan belajar, kita semakin tahu bahawa kita kerdil dan tidak penting dan mendapati betapa jahilnya kita tentang ilmu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >