Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Syarikat diberi kontrak bina jejambat, terowong RTS

LTA: Kontrak bernilai $180j; kerja-kerja pembinaan dijangka bermula suku kedua tahun ini
Jan 30, 2021 | 05:30 AM



KONTRAK sivil kedua bagi binaan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura telah ditawarkan semalam, seminggu selepas upacara pecah tanah bagi projek itu diadakan di sini.



Kontrak bernilai $180 juta itu termasuk kerja membina jejambat setinggi 25 meter di Selat Johor dan terowong kereta api.



Kontrak tersebut ditawarkan kepada China Communications Construction Company Limited (cabang Singapura) yang juga sedang membina stesen Boon Lay di Laluan Daerah Jurong (JRL), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).



Syarikat binaan itu, yang sebelum ini telah menyiapkan projek kereta api di negara lain seperti China dan Kenya, dijangka memulakan kerja membina jejambat dan terowong itu di Singapura pada suku kedua tahun ini.



Jejambat itu akan terletak di Selat Johor dalam wilayah Singapura, kata LTA.



Tambahnya, ia kemudian akan berterusan hingga ke darat dan disambung dengan terowong bawah tanah yang akan menghubungkannya dengan stesen terminal RTS Link di Woodlands North.



Di upacara pecah tanah projek tersebut minggu lalu untuk menandakan permulaan binaan di tapak Woodlands North itu, LTA mendedahkan bahawa jejambat itu akan dibina menggunakan cara balanced cantilever.



Ini melibatkan mengangkat bahagian konkrit hingga 180 tan.



RTS Link sepanjang 4 kilometer itu dijangka mula beroperasi menjelang hujung 2026 dan menghubungkan penumpang dengan Bukit Chagar di Johor Baru, di mana kerja binaan bermula November lalu.



Laluan kereta api itu dijangka boleh menampung hingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala.



Perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa lima minit.



Laluan kereta api baru itu diharapkan dapat mengurangkan kesesakan di Koswe.



Sebelum sekatan dilaksana akibat pandemik Covid-19, hampir 300,000 orang melintas Koswe setiap hari.



LTA berkata penumpang RTS Link juga akan disediakan stesen terminal dan kompleks imigresen di Woodlands North yang saiznya sekitar 10 kali lebih besar berbanding stesen MRT biasa.



Penta-Ocean Construction, yang ditawarkan kontrak sivil pertama bernilai $932.8 juta pada November lalu, akan membina stesen itu, bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta terowong.



Dibina di bawah tanah dengan kedalaman maksimum 28 meter, stesen RTS Link Woodlands North akan mempunyai tiga tingkat, termasuk dua tingkat besmen dan laluan bawah tanah menuju ke bangunan CIQ.



Stesen itu akan dihubungkan dengan stesen Laluan Thomson-East Coast (TEL) menerusi dataran bawah tanah.



Prasarana CIQ bagi Singapura dan Malaysia akan ditempatkan bersama di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar.



Ini bermakna penumpang hanya perlu melepasi imigresen sekali sahaja semasa ingin keluar negara.



Projek RTS Link diumumkan buat kali pertama pada 2010 dan disasarkan siap menjelang 2018.



Namun pada 2019, projek itu digantung atas permintaan Malaysia untuk menyemak skop, struktur dan kosnya.



Projek itu rasmi disambung semula Julai lalu dengan beberapa perubahan utama, termasuk penggunaan sistem transit kereta api ringan dan bukan kereta api serta sistem yang sama seperti TEL.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >