Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Setempat

KORONAVIRUS

Syarikat khidmat perkahwinan terpaksa tutup studio di Yishun

Jurucakap: Tiga pekerja disah dijangkiti Covid-19, studio The Wedding Brocade ditutup setelah kes pertama diuji positif
Mar 31, 2020 | 05:30 AM

SYARIKAT khidmat perkahwinan The Wedding Brocade (TWB) berkata perniagaannya masih diteruskan walau ia terpaksa menutup studio di Yishun selepas tiga pekerjanya disahkan dijangkiti Covid-19.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) menerusi e-mel, seorang jurucakap syarikat itu berkata sejak kes pertama diuji positif pada 26 Mac, studio itu ditutup dengan segera setelah mendapat pengesahan.

"Buat sementara ini semua pekerja yang telah berada di studio ini daripada 23 Mac hingga 26 Mac kini dikenakan perintah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan (MOH)," kata pengurus operasi perniagaan, Cik Yati Sarifudin.

Namun beliau tidak memberi keterangan lanjut tentang jumlah pekerja yang berada di studio dalam tempoh itu.

Menurut Cik Yati, syarikat perkahwinan itu telah melalui proses pembasmian kuman di studio pada Jumaat lalu, mengikut panduan yang diberikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Studio itu kini ditutup selama dua minggu bagi mematuhi perintah kuarantin, tambah beliau.

Namun, syarikat itu bercadang meneruskan perniagaan dalam talian.

"Kami akan menasihati pelanggan kami tentang prosedur operasi melalui e-mel dalam beberapa hari yang akan datang.

"Jejak kontak kini sedang dijalankan dan kami akan menghubungi pelanggan kami yang telah mengunjungi studio kami pada waktu itu, termasuk mereka yang telah berjumpa bersama kakitangan yang telah dijangkiti di luar studio," jelas Cik Siti.

Diminta perincian lanjut bagaimana syarikatnya akan meneruskan perniagaan dalam tempoh ini, Cik Yati berkata pasukannya kini sedang melakar rancangan kesinambungan perniagaan dan akan memberitahu pelanggan mereka secepat mungkin.

Semalam, studio berdinding kaca tu dikunci dan tiada sesiapa dilihat di dalamnya semasa BH mengunjunginya di Yishun Industrial Street 1.

Tiada sebarang notis atau makluman tentang kes Covid-19 di studio itu dan keadaan di bangunan kilang di estet perusahaan itu lengang.

Malah, seorang pemilik kedai berjiran berkata mereka tidak tahu ada kelompok Covid-19 di bangunan itu.

Apabila BH pergi ke pejabat pengurusan bangunan A'Posh BizHub itu, seorang kakitangan berkata mereka enggan mengulas mengenai insiden tersebut.

Pengurus operasi kedai menjual perabot Big Coin Furnishing, Encik William Tan, berkata tiada sesiapa yang memberitahu beliau dan pekerja di kedai itu tentang kes Covid-19 di sana, tetapi mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup dan menyediakan sanitiser tangan bagi pelanggan.

"Ada orang kata ada kes positif koronavirus di sini sejak dua hari lalu, tapi tiada orang beritahu kami secara rasmi," kata Encik Tan, yang menambah bahawa tiada sebarang kerja pembersihan tambahan dilihatnya dilakukan di bangunan itu.

Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin, tiga wanita berusia 22 tahun, 28 tahun dan 36 tahun dijangkiti Covid-19 dan mereka dikaitkan dengan The Wedding Brocade.

Kesemuanya sedang dirawat di hospital.


"Kami akan menasihati pelanggan kami tentang prosedur operasi melalui e-mel dalam beberapa hari yang akan datang. Jejak kontak kini sedang dijalani dan kami akan menghubungi pelanggan kami yang telah mengunjungi studio kami pada waktu itu, termasuk mereka yang telah berjumpa bersama kakitangan yang telah dijangkiti di luar studio."
- Pengurus Operasi Perniagaan, Cik Yati Sarifudin


SENARAI KELOMPOK COVID-19 DI SINGAPURA

1) Jamuan malam di Safra Jurong

2) Gim mendaki Boulder+Climbing

3) Gereja Singapura (Bukit Timah)

4) Masjid Al-Muttaqin

5) Pusat Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots Fengshan

6)Sekolah Antarabangsa Dover Court

7) Pusat Singpost

8) The Wedding Brocade

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian