Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HIKMAH RAMADAN

Syukur keadaan pandemik kian baik

Apr 15, 2022 | 05:30 AM



TIADA alasan bagi umat Islam untuk tidak bersyukur terutama jika melihat keadaan di sekeliling seperti keadaan pandemik yang menjadi satu kerisauan besar sebelum ini sudah menampakkan banyak perubahan.



Masjid sudah mula dibuka, jumlah jemaah semakin meningkat, saf semakin rapat dan secara beransur-ansur Mukmin mula menikmati Ramadan seperti keadaan sebelum diuji dengan wabak Covid-19 dahulu.



Ustazah Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi dalam Hikmah Ramadan yang disiarkan di radio Warna semalam berkata bahkan, banyak kegiatan keagamaan dapat bermula semula.



Dalam program Hikmah Ramadan yang disiarkan sepanjang Ramadan atas daya usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu, Ustazah Zahratur berkata:



"Subhanallah dapat kita lihat bahawasanya dalam bersyukur akan terpancar kekuatan iman dan amal.



"Sama-sama kita menghayati erti kesyukuran dan berusaha menjadi hamba Allah yang bersyukur."



Ustazah Zahratur yang merupakan pensyarah di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata:



"Suasana yang dirindui nampaknya semakin menghampiri realiti, insya-Allah.



"Begitulah indahnya jika sabar digandingkan dengan kesyukuran, ditambah lagi dengan bersangka baik kepada Allah swt.



"Selain ganjaran yang dapat kita raih, kita juga dapat berasa kemanisan dalam diuji dan apabila diberi.''



Ustazah Zahratur mengingatkan dalam kita menikmati keadaan yang beransur baik ini, kita masih tetap perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memastikan keamanan ini dan nikmat yang diberi dijaga dan dihargai.



"Antara manifestasi kesyukuran adalah menjaga nikmat yang diberi dan menunaikan amanah sebaik dan semampu kita.



"Dengan demikian kita tidak boleh bersikap sambil lewa ketika berhadapan dengan pandemik ini, kesihatan dan keselamatan semua haruslah menjadi keutamaan kita,'' ujar Ustazah Zahratur.



Menurut beliau lagi, setelah umat Islam berpuasa hampir sampai pada titik pertengahan Ramadan yang mulia ini, ia adalah satu nikmat terbesar yang patut di syukuri.



"Syukur itu adalah mengingati Allah dengan hati yang penuh kecintaan, menzahirkannya dengan mengucapkan Alhamdulillah dan menggunakan anggota badan dan segala urat nadi kita dalam mentaati-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya,'' kata Ustazah Zahratur.



Beliau mengongsi hadis riwayat Imam Bukhari, yang menyatakan bahawa Rasulullah saw biasanya, ketika mendirikan solat malam, Baginda berdiri sangat lama hingga kaki Baginda mengeras kulitnya.



Sayidatina Aisyah ra lalu bertanya kepada baginda saw, "Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah, bukankah Allah swt telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang?"



Lalu baginda saw menjawab yang bermaksud, "Wahai Aisyah, tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur."



Ustazah Zahratur menjelaskan:



"Kita dapat lihat bahawa Rasulullah saw adalah sebaik-baik makhluk diberi kemuliaan, sebagai kekasih Allah yang tiada dosa, yang telah dijanjikan syurga, namun baginda saw tetap bersungguh-sungguh berusaha menzahirkan kesyukuran kerana ingin menjadi hamba Allah yang bersyukur.



"Baginda saw menambahkan amal ibadah dengan mendirikan solat tanpa menghiraukan rasa penat atau lelah."



Ustazah Zahratur juga menggesa Mukmin supaya lazim berdoa seperti doa Nabi Allah Sulaiman as yang terdapat dalam surah An-Naml, yang bermaksud:



"Wahai Tuhanku ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatmu dalam kumpulan hamba-hambamu yang soleh."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >