Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tabah harungi dugaan sebelum genggam ijazah Sarjana Falsafah

Anak kecil meninggal dunia akibat barah, namun ayah cekal semangat tamatkan pengajian; antara enam lulusan program sarjana Kolej Islam Muhammadiyah-Universiti Teknologi Malaysia
Jul 25, 2021 | 05:30 AM



TATKALA sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana, Ustaz Shaik Huzaifah Shaik Hussain ditimpa dugaan luar biasa yang amat mencabar sebagai seorang ayah.



Hatinya luluh apabila mendapat tahu puterinya, Haneen Shaik Huzaifah, menghidapi penyakit barah neuroblastoma tahap empat. Ketika itu, anaknya baru berusia sembilan bulan.



Neuroblastoma adalah barah yang bermula dalam sesetengah bentuk sel saraf awal, paling kerap ditemui dalam embrio atau janin.



Ustaz Shaik Huzaifah - anak mantan presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob - terpaksa menunda pengajiannya selama hampir satu setengah tahun untuk menjaga anaknya.



Namun, anaknya itu bertemu Ilahi pada 2019.



"Setelah dia meninggal dunia, memang pada awalnya saya rasa berat untuk melanjutkan pengajian, namun saya mengingatkan diri ini bahawa kita menuntut ilmu kerana Allah semata.



"Maka saya pun mengumpulkan saki-baki semangat untuk melanjutkan penulisan tesis dan berjaya menyelesaikannya hingga lulus ujian membentang dan mempertahankan tesis kepada panel pemeriksa," kata beliau.



Malah, berkat semangat kuatnya itu, Ustaz Shaik Huzaifah, 33 tahun, baru-baru ini berjaya menggenggam ijazah Sarjana Falsafahnya.



Beliau antara enam lulusan Sarjana Falsafah yang merupakan kumpulan lulusan pertama program sarjana Kolej Islam Muhammadiyah (MIC)-Universiti Teknologi Malaysia (UTM).



Baru-baru ini, seramai 188 lulusan MIC menerima sijil, diploma atau sarjana mereka dalam majlis konvokesyen dalam talian.



Ustaz Shaik Huzaifah, seorang pensyarah di MIC, telah menerima biasiswa dari Persatuan Muhammadiyah untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana.



Dengan sarjana yang digenggamnya itu, beliau berharap dapat memberi suntikan semangat kepada para penuntut untuk terus berjuang menimba ilmu demi menegakkan agama Islam.



Ini supaya dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu dalam memenuhi hak-hak Allah sebagai Tuhan dan hak-hak sesama manusia.



"Saya akan menyumbang kepada masyarakat dengan mempersiapkan lapisan generasi muda yang berkualiti di masa hadapan dengan cara memupuk semangat belajar, mengajar dengan merujuk kepada sumber asli iaitu Al-Quran dan Hadis.



"Masyarakat Islam Singapura memerlukan lebih ramai lagi cendekiawan terutama sekali sekarang ini kerana begitu pesatnya arus perkembangan zaman.



"Ia memerlukan ahli fikir yang bersikap serba boleh dan dapat mengikuti perkembangan hukum-hakam agama yang bersifat kontemporari," kata beliau.



Seorang lagi lulusan Sarjana Falsafah itu ialah Ustaz K H Abdul Majeed, seorang pegawai eksekutif di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) (Pengurusan Estet).



Beliau, 60 tahun, berkata pengetahuan yang diraih menerusi program sarjana itu akan memberinya pemahaman lebih mendalam tentang hujah dan sudut pandangan falsafah yang sering kali diluahkan banduan dan klien, serta alat untuk mengkaji sudut pandangan dan hujah tersebut secara kritis.



"Saya percaya dengan pendidikan dan kelayakan yang lebih baik, saya boleh tetapkan matlamat dan visi jelas, juga memiliki pemahaman jelas tentang keprihatinan sosio-ekonomi, menelitinya dan menghadapi fakta, dan mempunyai gambaran idealistik tentang apa yang boleh dicapai," kata beliau, yang juga seorang hakam di Mahkamah Syariah dan kaunselor di penjara.



Ustaz Md Azri Azman, Presiden Persatuan Muhammadiyah, yang juga pengerusi MIC, berharap lulusan sarjana itu akan dapat menyumbang dalam usaha membangun keilmuan masyarakat Islam di Singapura, dan jika berkemampuan, meneruskan pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD).



"Kami di Muhammadiyah akan terus berusaha menyokong mereka yang ingin mencapai peringkat keilmuan tertinggi yang sememangnya selari dengan visi kami untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu, bertakwa dan bermanfaat buat semua," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >