Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tabung amanah anak keperluan khas kekal rendah

Lapan daripada 468 tabung amanah Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) dan 40 daripada 399 akaun Skim Simpanan Keperluan Khas (SNSS) milik Muslim
May 14, 2017 | 05:30 AM



RAMAI ibu bapa prihatin tentang masa depan anak mereka yang berkeperluan khas, terutama apabila mereka meninggal dunia.



Namun, hanya segelintir yang mengorak langkah proaktif untuk menjamin masa depan anak mereka, terutama dari segi kewangan.



Mencerminkan trend senegara, jumlah keluarga Muslim yang menubuhkan tabung amanah bagi anggota keluarga mereka adalah kecil.



Sehingga bulan lalu, hanya lapan daripada 468 tabung amanah yang berdaftar dengan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) - satu-satunya syarikat amanah tanpa untung di Singapura yang memiliki status pertubuhan amal - ditubuhkan oleh keluarga Muslim.



Tabung amanah yang ditadbirkan dengan sokongan Pejabat Amanah Awam (PTO) ini membenarkan anggota keluarga mengetepikan wang bagi kegunaan anggota keluarga berkeperluan khas, selepas mereka meninggal dunia.



Jumlah ibu bapa Muslim yang membuka akaun Skim Simpanan Keperluan Khas (SNSS) juga rendah.



SNSS menggunakan wang simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan adalah tabung alternatif bagi menyokong tabung amanah SNTC.



Sehingga bulan lalu, ibu bapa Muslim membuka 40 daripada 399 akaun SNSS.



Dimulakan pada 2012 dan kini dikendalikan oleh SNTC, SNSS membenarkan ibu bapa mengetepikan sebahagian simpanan CPF bagi tujuan penjagaan jangka panjang anak yang berkeperluan khas.



Adalah sukar memastikan jumlah orang berkeperluan khas di Singapura - tiada daftar pusat yang rasmi, selain daftar yang disimpan badan kebajikan dan pertubuhan bantu diri secara berasingan.



Namun, berdasar anggaran Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bahawa 3 peratus daripada 3.9 juta warga dan penduduk tetap berada dalam golongan ini, terdapat 117,000 warga berkeperluan khas di Singapura.



Melihat dari segi perkadaran, 13.4 peratus daripada jumlah ini, atau lebih 15,600, adalah orang Melayu Islam.



Pengurus Besar SNTC, Cik Esther Tan, berkata ada tanggapan bahawa tabung amanah hanya boleh disimpan oleh golongan kaya, suatu tanggapan yang kurang tepat.



"Kami pertubuhan tanpa untung, yang menawarkan khidmat tabung amanah boleh dimampui kepada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan, bagi membantu mereka merancang untuk keselamatan kewangan orang dijaga yang berkeperluan khas," kata Cik Tan.



Mengulas tentang jumlah keluarga Muslim menyimpan tabung amanah yang rendah, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata satu sebab adalah kurang pengetahuan tentang penjagaan masa depan dan perancangan kewangan bagi golongan keperluan khas dalam masyarakat.



Bagaimanapun, beliau berkata satu sebab lain mungkin adalah kerana masyarakat Melayu Islam amat rapat dan mendapat sokongan baik daripada keluarga dan rakan.



"Lantaran itu, mereka menganggap bahawa mereka tidak memerlukan khidmat tabung amanah atau skim simpanan keperluan khas," ujar Dr Faishal.



Namun, tambah Dr Faishal, masih ada keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang perancangan masa depan dan kewangan golongan keperluan khas.



"Ia bukan sahaja menambah ketenteraman penjaga, malah membenarkan mereka membuat rancangan unik bagi menentukan keperluan orang tersayang dipelihara dengan baik selepas penjaga utama meninggal dunia," ujar Dr Faishal yang berkata SNTC sedang mengkaji cara memperluas usaha mendekati masyarakat.



Berucap di Parlimen pada Mac lalu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Tan Chuan-Jin, berkata SNTC akan mempertingkat usaha menangani 'keprihatinan utama' penjaga anak berkeperluan khas - berkenaan penjagaan anak berkeperluan khas - selepas mereka meninggal dunia.



Selain usaha berterusan untuk mendekati warga senja yang juga penjaga anak berkeperluan khas, SNTC, yang ditubuhkan pada 2008, juga berharap dapat membina keupayaan bagi mendekati keluarga Muslim.



Cik Tan berharap lebih ramai peguam Syariah dan perancang kewangan Muslim boleh tampil memberi sokongan kepada SNTC, untuk berkongsi dengan klien Muslim berkenaan undangundang pusaka Muslim dan juga menawarkan khidmat guaman bayaran rendah bagi klien menulis wasiat dan membuat permohonan perwakilan bagi orang dewasa berkeperluan khas yang dijaga.



Khidmat tabung amanah SNTC lebih dimampui, terutama oleh keluarga yang kurang berada atau tidak layak mendapatkan khidmat dari bank atau firma amanah swasta.



Firma amanah swasta biasanya mengenakan bayaran antara $3,000 dengan $10,000 untuk memulakan akaun, tidak termasuk dana permulaan sekitar $50,000.



Menurut laporan akhbar The Straits Times baru-baru ini, kebanyakan tabung amanah swasta dimulakan oleh individu yang mempunyai aset bernilai lebih $2 juta.



Sebaliknya, seseorang warga boleh membentuk akaun SNTC dengan membayar hanya $150, selepas subdisi 90 peratus daripada pemerintah.



Dana permulaan minimum yang dituntut juga lebih rendah - sejumlah $5,000.



Malah, keluarga yang kurang berkemampuan dan memenuhi kriteria SNTC boleh mendapat derma daripada SNTC untuk menanggung kos itu.



Yuran tahunan $250 yang perlu dibayar sebelum akaun SNTC menjadi aktif juga ditanggung 100 peratus oleh pemerintah.



Tabung amanah SNTC juga satu 'pelaburan selamat'.



SNTC disokong MSF dan bekerjasama dengan Pejabat Amanah Awam (PTO) yang menguruskan dan melaburkan dana amanah.



Nilai pokok tabung amanah SNTC juga dijamin pemerintah.



Seorang penjaga anak keperluan khas yang bersikap proaktif memulakan tabung amanah SNTC ialah Cik Asma Bibi Abdullah, 69 tahun.



Pekerja pembersihan ini berharap tabung tersebut sedikit sebanyak boleh digunakan untuk menyara hidup anaknya, Encik Sulaiman Pakeer Mohamed, 48 tahun, yang kurang keupayaan intelektual, di masa depan.



"Saya tidak mahu susahkan anak saya yang lain, jika saya pergi (meninggal dunia) dulu," ujar ibu empat anak lelaki itu.



"Jadi inilah sahaja cara yang saya mampui," tambah beliau.



INFOGRAFIK: Perancangan kewangan masa depan bagi ahli keluarga berkeperluan khas




"Ia bukan sahaja menambah ketenteraman penjaga, malah membenarkan mereka membuat rancangan unik bagi menentukan keperluan orang tersayang dipelihara dengan baik selepas penjaga utama meninggal dunia."
- Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.




SEKILAS SNTC



- Ditubuhkan pada 2008, Syarikat Amanah Keperluan Khas menawarkan khidmat tabung amanah boleh dimampui kepada golongan keperluan khas, yang tidak berdaya menguruskan kewangan mereka.



Ia disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan.



- Tabung amanah SNTC boleh disimpan oleh:



1) ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas; atau



2) kanak-kanak yang mempunyai orang tua yang mengalami kemalangan atau menjadi kurang upaya di usia senja.



- Orang berkeperluan khas - fizikal, intelektual atau mental - mesti merupakan warga atau penduduk tetap yang tinggal di sini.



- Anggota keluarga boleh mengetepikan wang dan aset dalam akaun SNTC bagi kegunaan anggota berkeperluan khas selepas mereka meninggal dunia.



- Aset ini termasuk simpanan peribadi, bayaran insurans dan simpanan CPF.



- Penjaga juga digalakkan mengikrarkan hasil penjualan rumah selepas mereka meninggal dunia.



- Sehingga 30 April, tabung amanah ini telah mengumpul $18.4 juta



- Sejauh ini, 468 akaun SNTC telah dibuka, termasuk lapan akaun milik keluarga Muslim. Sebanyak 22 akaun telah 'diaktifkan', atau mengeluarkan bayaran bulanan kepada benefisiari.



- Selepas seorang penjaga anak berkeperluan khas merujuk kepada SNTC, pekerja sosial dari SNTC akan bekerjasama dengan penjaga untuk menentukan keperluan harian orang berkeperluan itu.



- Pekerja sosial tersebut akan mencadangkan rancangan penjagaan terperinci, termasuk kos yang terlibat, di awal proses menubuhkan tabung amanah.



- Lantaran itu arahan penjaga akan ditulis dalam Surat Hasrat, disusuli pembikinan wasiat, jika perlu, bagi menentukan cara penjagaan orang berkeperluan khas dan cara aset akan digunakan selepas penjaga meninggal dunia.



- Jika ibu bapa enggan memulakan tabung amanah, SNTC juga boleh melakarkan rancangan penjagaan secara percuma, bagi memberi ibu bapa gambaran lebih jelas tentang perbelanjaan jangka panjang yang diperlukan anak mereka.




SEKILAS SNSS



- Skim Simpanan Keperluan Khas (SNSS) membenarkan ibu bapa mengetepikan sebahagian simpanan CPF bagi penjagaan jangka panjang anak berkeperluan khas selepas mereka meninggal dunia.



- Ia disasarkan kepada ibu bapa yang mempunyai wang simpanan sedikit di luar akaun CPF.



- Diperkenal pada 2012, ia ditadbirkan oleh SNTC sejak 2014.



- Warga yang dibenarkan menjadi benefisiari SNSS memerlukan bantuan melaksanakan sekurang-kurangnya satu kegiatan harian seperti mandi, memakai baju atau makan.



- Sehingga akhir bulan lalu, 399 permohonan SNSS telah diluluskan. Sejumlah 40 permohonan adalah daripada keluarga Muslim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >