Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Tadika MOE pupuk minat bahasa Melayu melalui sesi bermain

Jan 23, 2021 | 05:30 AM



MEWUJUDKAN peluang di mana kanak-kanak dapat menggunakan bahasa Melayu dalam interaksi dan rutin kehidupan harian penting untuk menunjukkan bahasa ibunda mereka sesuai tidak kira situasi mahupun lokasi.



Jika kesedaran ini dapat diterapkan sejak kecil, mereka dapat lihat bahasa Melayu kekal 'hidup' dan relevan dan tidak akan mengetepikannya, kata guru prasekolah Cik Siti Raudhah Halimi.



Sejak menceburi bidang tersebut 25 tahun lalu, Cik Ruadhah mendapati tugasnya sebagai guru Melayu dalam membentuk keupayaan berbahasa Melayu dalam diri kanak-kanak semakin hari semakin mencabar.



Menurutnya, lebih ramai kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang kurang berbahasa Melayu di rumah.



"Bahasa Melayu dah jadi seperti bahasa asing bagi kanak-kanak ini kerana persekitaran di rumah yang tidak banyak menggunakan bahasa itu.



"Penggunaan teknologi juga biasanya bermakna anak-anak tidak atau kurang terdedah peluang bertutur dalam bahasa Melayu.



"Untuk itu, sekolah memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan bahasa ibunda kepada anak-anak sejak kecil lagi," ujarnya.



Cik Raudhah, yang kini guru kanan di tadika Kementerian Pendidikan (MOE)@ Horizon, berkata mewujudkan asas bahasa ibunda yang kukuh di prasekolah penting dan ini dapat dilakukan melalui aktiviti yang bertujuan menarik perhatian dan memastikan mereka seronok menggunakan bahasa itu.



Ini termasuk melalui pengalaman dan kehidupan harian, bermain, interaksi bermutu dan juga penggunaan teknologi.



Teknik-teknik tersebut digunakan bukan sahaja untuk mengajar bahasa malah budaya dan juga nilai-nilai Melayu.



"Saya memang suka kanak-kanak dan saya ingin jadi sebahagian daripada proses perkembangan mereka dan juga untuk menggalakkan kemahiran berdwibahasa.



"Selain mengajar bahasa Melayu, saya juga ingin menerapkan elemen-elemen lain seperti budaya, warisan, tatatertib dan juga gaya hidup orang Melayu dalam membentuk anak-anak ini," katanya.



Menurut Cik Raudhah, masa bermain memang merupakan masa terbaik untuk kanak-kanak belajar dan ini diterapkan dalam kelasnya.



"Bermain merupakan aspek yang penting dalam pembelajaran kanak-kanak, contohnya seperti sesi bermain yang mempunyai matlamat pembelajaran tertentu dan juga peluang belajar daripada pengalaman dan ini diterapkan dalam cara saya mengajar.



"Kanak-kanak perlu berasa seronok bila mereka belajar dan mereka juga perlu rasa mereka berjaya mencapai sesuatu semasa bermain itu," katanya.



Antara aktiviti yang beliau gemar lakukan bersama muridnya termasuk memperkenalkan mereka kepada mainan tradisional seperti batu seremban.



Namun, selain pendedahan melalui kelas bahasa Melayu di sekolah, Cik Raudhah turut menekankan pentingnya peranan yang dimainkan ibu bapa di rumah dalam menggalakkan anak-anak mereka berbahasa Melayu.



Antaranya dengan memperuntukkan masa-masa tertentu di mana bahasa Melayu boleh digunakan melalui interaksi, melalui sesi bermain atau bercerita.



Cik Raudhah akui rasa berpuas hati apabila mendapat maklum balas daripada ibu bapa bahawa penggunaan bahasa Melayu anak-anak mereka semakin baik.



"Antara pengalaman yang saya amat hargai adalah apabila ibu bapa berkongsi dengan saya bahawa anak mereka sudah boleh gunakan bahasa Melayu di rumah dan dapat bertutur dalam ayat penuh.



"Ibu bapa juga ada kalanya berkongsi bagaimana anak-anak mereka menggunakan apa yang dipelajari di sekolah dan ini membuatkan saya amat gembira dan terdorong."



Tambahnya, dengan sumber-sumber mengajar di tadika yang semakin banyak untuk digunakan dalam kurikulum, beliau semakin teruja untuk memikirkan cara-cara baru dan terbaik untuk kelasnya.



"Memang banyak perkara baru yang saya boleh dan ingin pelajari, dan semangat ini 'dipengaruhi' semangat murid-murid saya untuk belajar dan mendorong saya agar terus lakukan yang terbaik," katanya.



Peluang pendaftaran bagi kemasukan tadika satu (K1) bagi 2022 di kesemua tadida MOE akan dibuka dari 5 hingga 9 Februari ini.



Sementara itu, rumah terbuka tadika MOE, di mana ibu bapa boleh mendapat maklumat lanjut tentang kurikulum tadika, akan diadakan melalui Zoom pada 30 Januari dari 10 pagi hingga 1 petang.




"Bermain merupakan aspek yang penting dalam pembelajaran kanak-kanak, contohnya seperti sesi bermain yang mempunyai matlamat pembelajaran tertentu dan juga peluang belajar daripada pengalaman dan ini diterapkan dalam cara saya mengajar. Kanak-kanak perlu berasa seronok bila mereka belajar dan mereka juga perlu rasa mereka berjaya mencapai sesuatu semasa bermain itu."
- Cik Siti Raudhah Halimi, guru kanan tadika MOE@Horizon.




BUTIRAN RUMAH TERBUKA



Pendaftaran bagi kemasukan tadika satu (K1) bagi 2022 di kesemua tadika Kementerian Pendidikan (MOE)



  • 5 hingga 9 Februari

  • Pendaftaran boleh dilakukan di www.moe.gov.sg/mk dari 9 pagi pada 5 Februari hingga 4 petang 9 Februari.

Rumah terbuka tadika MOE (MK)






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >