Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

IBADAH HAJI DISAMBUNG SEMULA

Tahniah, gembira bagi bakal jemaah, yang belum dipilih usah putus harap

ANALISIS BERITA,NAZRI HADI SAPARIN

Apr 28, 2022 | 05:30 AM



SEKITAR 400 jemaah Singapura akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Haji tahun ini - pertama kali ibadah itu dibuka kepada jemaah dari luar negara sejak penularan Covid-19.



Sedang pengumuman ini dialu-alu masyarakat Islam setempat, namun ia juga menimbulkan perasaan berbelah bagi.



Ini terutama di kalangan jemaah dan anggota keluarga mereka, yang gusar sekiranya hajat untuk naik haji yang tertangguh sejak dua tahun lalu, berlanjutan sekiranya mereka tidak terpilih antara sekitar 400 jemaah tersebut.



Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), bilangan 407 tempat yang telah diperuntukkan bagi jemaah Singapura untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini hanyalah kira-kira 45 peratus daripada kuota rasmi negara sebanyak 900 jemaah sebelum ini.



Kuota haji yang terhad itu akan diperuntukkan kepada jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadah haji pada 2020 dan kini memenuhi syarat dan peraturan bagi Haji 2022, kata Muis.



Ini bermakna, sebilangan jemaah yang merancang untuk menunaikan haji pada 2020, dan berharap dapat dipilih untuk ke Tanah Suci di bawah kuota terhad tahun ini, bakal dihampakan.



Bagaimanapun, hakikatnya sedang keadaan Covid-19 semakin baik, namun dunia masih belum dapat mengisytiharkan kemenangan ke atas virus tersebut.



Justeru, langkah kerajaan Saudi membuka ibadah haji kepada jemaah luar negara, namun dengan jumlah yang terhad, adalah langkah rasional dan wajar.



Di samping itu, pemimpin negara juga telah berusaha memohon untuk kuota haji yang lebih tinggi, bagi memenuhi permintaan jemaah Singapura.



Mac lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah di Riyadh, Arab Saudi.



Dalam pertemuan tersebut, beliau telah menyampaikan harapan mendalam agar jemaah Singapura dapat menunaikan haji tahun ini, selain meminta kerajaan Saudi menimbangkan permintaan negara ini agar kuota hajinya ditambah.



Permintaan serupa juga dilahirkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada Februari lalu.



Encik Lee, dalam satu panggilan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Salman, telah meluahkan harapan agar permintaan Singapura supaya kuota haji bagi negara ini ditambah akan dipertimbang dengan baik apabila ibadah haji disambung bagi jemaah antarabangsa.



Soal kuota ini di luar bidang kuasa kita, namun sebagai sebuah masyarakat, kita bersyukur para pemimpin negara ini terus menerus mengadakan perbincangan dengan kerajaan Saudi setiap tahun, untuk melahirkan harapan agar lebih ramai jemaah Singapura dapat memenuhi hasrat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.



Sehingga itu, kita boleh bersyukur dengan kelonggaran yang dapat dinikmati tahun ini, hasil kerja keras dan daya tahan kita mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat dalam membendung penularan Covid-19.



Bilangan lebih kurang 400 jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci kelak melambangkan harapan kita untuk masa hadapan yang lebih baik, yang bebas daripada belenggu pandemik.



Bagi syarikat-syarikat setempat yang menawarkan khidmat haji, pembukaan semula sektor tersebut - termasuk haji dan juga umrah - memberi mereka peluang untuk merancakkan semula perniagaan setelah mengharungi dua tahun yang amat mencabar.



Pengurus haji dan umrah Hamidah Travel & Tours, Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb, memberitahu Berita Harian (BH), meskipun pengumuman berkaitan kuota haji itu dialu-dalu, namun ia mendatangkan cabaran hebat bagi penyedia khidmat sepertinya.



"Namun kami tetap bersyukur...cabaran dalam musim haji kali ini bukan hanya dihadapi oleh ejen sahaja tetapi, pada semua pihak - jemaah mahupun Muis.



"Semua yang terlibat berdepan dengan cabaran hebat kerana masa amat suntuk untuk membuat persiapan.



"Namun kami akan akur dengan peraturan yang ditentukan dan akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan jemaah," ujarnya.



Bagi jemaah pula, peluang menunaikan haji bagai menangani ketidakpastian sejak dua tahun lalu.



Antara mereka ialah pasangan suami isteri Encik Hassan Ali dan isterinya, Cik Hamidah Abdul Karim, yang dijadual menunaikan haji pada 2020, tetapi malangnya terpaksa menangguhkannya akibat Covid-19.



Dalam wawancara dengan akhbar ini, Cik Hamidah, 50-an tahun, melahirkan harapan agar beliau dan suaminya, yang berusia 60-an tahun, dapat diberi peluang untuk menunaikan haji tahun ini.



"Beg yang kami kemaskan untuk menunaikan haji pada 2020 sebenarnya sudah sedia untuk kami pergi saja," kata beliau.



Diminta mengulas, Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan, menasihatkan mereka yang terlepas peluang menunaikan haji sekali lagi tahun ini supaya tidak putus harap.



"Allah sebenarnya maha pengasih, dengan niat kita sahaja Allah akan memberikan ganjarannya.



"Ada antara kita yang telah berniat untuk menunaikan haji, dengan niat sahaja insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran.



"Kebaikan lebih utama juga ialah untuk kita memelihara segala bentuk kemudaratan pada diri kita dan orang lain. Itu juga adalah satu amalan ibadah yang besar.



"Jadi kalau kita belum boleh menunaikannya lagi, Allah maha adil dan kita yakin kepada Allah, akan datang peluangnya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >