Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BHalal: Ruang Info Halal

Tak lagi pening kepala masak apa?

Pes segera pelbagai sajian semakin popular
Nov 17, 2019 | 05:30 AM



Kalau dahulu nenek moyang kita menggunakan batu lesung dan batu giling untuk menghasilkan pes masakan mereka, kini tidak lagi. Sebaliknya pes segera kini semakin banyak dijual di pasar raya setempat dan seberang Tambak - menawarkan pelbagai perisa yang berbeza. Mengapakah pes masakan kini semakin popular? Siapakah pembelinya? BERITA MINGGU melaporkan.



KEHIDUPAN moden di mana kebanyakan penduduknya bekerja bermakna masa untuk menyediakan sajian harian menjadi semakin singkat bagi kebanyakan keluarga.



Jika tidak membeli sajian di luar, ramai dalam kalangan penduduk yang akan menyediakan sajian ringkas sahaja seperti mi segera atau sajian beku yang dibungkus yang dimasak dalam ketuhar mikro.



Kini pes beku halal yang tumbuh bak cendawan terus menjadi buruan masyarakat setempat.



Pelbagai jenis perisa yang terdapat di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit bermakna orang ramai tidak menghadapi masalah untuk dapatkan pes bagi pelbagai sajian mereka.



Malah pes sedemikian bak menjadi gaya hidup harian masyarakat setempat - bukan sahaja dalam kalangan mereka yang bekerja, malah, suri rumah dan pelajar selain mereka yang melancong ke luar negara turut menggunakan pes bagi mengisi perut mereka!



Tidak hairanlah jika perniagaan pes terus menunjukkan pertumbuhan, kata sesetengah peniaga.



Seperti kata pemilik Rempah Kak Jun dan Rempah Mendi by balqisgourmettogo, Cik Junainah Jumari, 62 tahun:



"Nampaknya jualan pes kami terus laris.



"Bukan sahaja di Singapura, malah saya difahamkan ia telah 'merantau' sejauh ke luar negara seperti ke Malaysia, Australia Jepun, Dubai, Belanda, Amerika Syarikat dan negara-negara Balkans.



"Selain menjadi bekalan mereka yang bekerja dan belajar di luar negara, terdapat juga penduduk luar negara yang berminat dan bertanyakan sendiri dengan saya akan kemungkinan mengedarkan pes saya ke negara mereka.



"Semua ini pasti akan dipertimbangkan buat jangka masa panjang," katanya.



Cik Junainah sebelum ini merupakan pemilik sebuah restoran makan sebelum mengambil peluang mengubah perniagaannya kepada jualan pes buatannya sendiri.



Pada masa ini pesnya, Rempah Kak Jun, yang mempunyai lima jenis perisa - asam pedas, sambal goreng, sambal tumis, rendang dan lemak cili padi - dijual dengan harga $15 bagi lima paket.



Namun dengan teknologi yang terus canggih, sejenis pes yang dihasilkan kini mampu digunakan untuk memasak pelbagai jenis sajian.



Seperti pes 'Chili Mex Paste', yang diperkenalkan Cef Mel Dean, yang menurutnya mampu menghasilkan sehingga 500 jenis sajian.



Ini hasil penyelidikan yang dijalankan yang mengambil masa sehingga empat bulan untuk mengenal pasti ramuan dan bahan yang digunakan yang mampu memenuhi cita rasa pengguna.



"Bila saya menghasilkan pes ini saya cuba kenali keinginan pengguna hari ini dan mencari huraian bagi memenuhi keinginan tersebut.



"Mereka pastinya ingin jimatkan masa apabila menggunakan pes ini, tanpa menjejas cita rasa.



"Akhirnya selepas empat percubaan, saya berjaya menghasilkan pes yang diinginkan," katanya.



Kini pesnya itu dijual di salah sebuah kedai, secara dalam talian atau menerusi beliau sendiri dilanggani keluarga dan pasangan muda, pekerja muda dan juga suri rumah selain warga asing.



Sebabnya pesnya yang dijual dengan harga $7.50 sepaket, boleh digunakan untuk masakan ikan bakar, ikan panggang, ayam bakar madu, lasagne, stik selain menjadi pencecah dan lauk.



"Begitu versatil pes ini, pengguna hanya perlu tambah beberapa bahan dalam pes tersebut bagi mengubah cita rasa mengikut keinginan ramai," katanya.



Malah teknologi masa kini yang begitu canggih membolehkan perisa pes tersebut sesuai digunakan di restoran.



Seperti contoh, pes jenama Asyura yang dihasilkan Cik Norhuda Rabani, 46 tahun, kini digunakan di restoran Tenderbest Makcik Market yang mula beroperasi sejak Mei lalu.



Padahal sebelum ini, Cik Norhuda berkata perniagaannya hanya bermula secara kecil-kecilan di rumah sebelum akhirnya ia dikilangkan secara besar-besaran.



"Di restoran itu, rempah saya digunakan dalam sajian lemak cili padi and sambal goreng dan juga ikan bakar.



"Tapi sebelum itu, kami jalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D) semasa menghasilkan setiap rempah yang akan digunakan dalam sajian yang berbeza.



"Itu cabarannya," kata beliau.



Ini merupakan kali pertama kerjasama antara sebuah syarikat mengilang pes dengan restoran.



Ditanya respons yang diterimanya sejauh ini, Cik Norhuda berkata:



"Alhamdullilah, respons yang diterima amat baik dan kini terdapat rancangan untuk kami tebar sayap ke luar negara.



"Kami sudah pun berbual dengan beberapa orang untuk eksport produk kami ke beberapa negara, dan kami masih terus jalankan kajian pemasaran.



"Buat masa ini, kami sasarkan ke Taiwan."



Pemilik Warong Pak Sapari yang terletak di Adam Road, Encik Sumadi Sapari, pula berkata rempah yang beliau hasilkan tidak perlu dimasukkan ke peti ais - sekiranya paketnya belum dibuka.



Ini hasil R&D yang beliau jalankan sendiri yang mendapati ia mampu bertahan sehingga setahun sekiranya tidak dibuka dan dibiarkan pada suhu bilik.



"Tapi bila dibuka ia boleh diletak dalam peti ais dan mampu bertahan antara dua minggu dengan sebulan," tambahnya yang kini hanya menjual pes itu di gerainya.



Beliau yang bercadang menjual di pasar raya setempat kini sedang mencari pengedar untuk menguruskannya.



Seorang pembeli, Cik Nuridhani Mahmood, 35 tahun, memilih pes cili kisar yang boleh bertahan selama sebulan atau lebih.



"Bagi kami (suami isteri) ia memudahkan sajian yang dimasak seperti mi goreng, sardin dan lain-lain lagi kerana dapat jimatkan masa.



"Sebagai pasangan yang bekerja, biasanya kami akan uruskan makanan kami di luar sahaja, tapi kadangkala tekak terasa hendak makan masakan sendiri," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >