Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tak saman adik bukan 'kebebasan penuh' untuk fitnah saya: PM Lee

Hari pertama bicara saman Perdana Menteri terhadap editor laman TOC, Terry Xu
Dec 01, 2020 | 05:30 AM



MESKIPUN Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak mengambil tindakan guaman terhadap adik-beradiknya berhubung kenyataan mereka tentang rumah Oxley Road, ia tidak bermakna orang lain mempunyai "kebebasan penuh" untuk menggunakan apa yang dikatakan mereka bagi memfitnah beliau.



PM Lee berkata demikian semasa memberi keterangan di mahkamah semalam, pada hari pertama perbicaraan sepanjang seminggu tindakan samannya terhadap Encik Terry Xu, editor laman The Online Citizen (TOC), lapor The Straits Times.



Dalam keterangan beliau, PM Lee juga berkata persengketaan keluarga berhubung rumah Oxley Road berat sebelah, dan menekankan bahawa beliau dan isterinya, Cik Ho Ching, tidak menyimpan kebencian terhadap adiknya, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling.



Tindakan saman itu melibatkan sebuah artikel TOC yang diterbitkan Ogos tahun lalu, bertajuk PM Lee's wife, Ho Ching weirdly shares article on cutting ties with family members" (Isteri PM Lee, Ho Ching secara pelik kongsi artikel tentang memutuskan hubungan dengan anggota keluarga).



Artikel itu merujuk kepada satu pos Facebook oleh Dr Lee, yang mendakwa bahawa PM Lee memperdaya bapa mereka, Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, hingga mendiang menyangka rumah di 38 Oxley Road itu telah diwartakan pemerintah.



Artikel TOC itu, kata peguam PM Lee, mengandungi dakwaan "sensasi" yang menjejas teruk nama baik PM Lee.



Dalam soal selidiknya terhadap PM Lee, peguam Encik Xu, Encik Lim Tean, berkata memandangkan PM Lee memilih tidak mengambil tindakan guaman terhadap adik-beradiknya mengenai dakwaan mereka, "dapat difahami" bahawa editor TOC itu menyangka beliau boleh merujuk kepada apa yang dikatakan mereka.



"(Ia) bukanlah sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja. Saya memutuskan mengambil pendekatan berbeza terhadap adik-beradik saya tetapi ia tidak bermakna kebebasan penuh bagi orang lain menggunakannya dan terus memfitnah saya," ujar PM Lee.



Menjawab soalan Encik Lim apakah media tidak boleh melaporkan tuduhan adik-beradiknya itu, PM Lee berkata ia boleh dilakukan, tertakluk pada undang-undang fitnah.



PM Lee berkata Encik Xu mengulangi dakwaan - yang PM Lee sudah sangkal sebelum itu - dalam satu artikel yang dibaca lebih 100,000 orang, dan mereka yang tidak mengikuti kes itu dan butirannya akan percaya apa yang ditulis.



PM Lee juga berkata beliau telah menangani tuduhan adik-beradiknya itu dalam dua kenyataan menteri, dan terbuka kepada soal jawab di Parlimen serta mengundang Anggota Parlimen mengemukakan sebarang syak wasangka.



Perdana Menteri menambah bahawa beliau juga telah menerbitkan semula kenyataan menterinya di luar Parlimen, sekali gus melepaskan hak istimewa parlimen.



Ini membolehkan adik-beradiknya mengambil tindakan guaman terhadap beliau berhubung kenyataan itu, tetapi mereka tidak berbuat demikian, kata PM Lee.



Dalam kenyataan menterinya di Parlimen pada 2017 mengenai rumah Oxley Road itu, PM Lee berkata tindakan guaman terhadap adikberadiknya akan "mencemarkan lagi nama ibu bapa kami", melanjutkan proses itu selama bertahun-tahun, dan menimbulkan lebih banyak gangguan dan kesedihan kepada warga Singapura.



Encik Lim juga bertanya apakah hubungan antara Cik Ho dengan adik-beradik PM Lee dingin.



"Kebencian hanya jelas daripada satu pihak oleh adik-beradik saya.



"Saya mahupun isteri saya tidak mahu ini berterusan atau berdendam terhadap mereka," ujar PM Lee.



Beliau menambah: "Saya tidak faham ia mengenai apa. Saya sudah menjauhkan diri saya daripada punca persengketaan itu.



"Saya tidak lagi memiliki 38 Oxley, saya sudah menjualnya kepada Lee Hsien Yang, dan telah menarik diri daripada urusan pemerintah dalam hal ini.



"Saya tetap berharap satu hari nanti perkara boleh dibaiki. Tetapi ini antara perkara yang berlaku dalam kehidupan, dan ia juga akan berlalu."



Semalam, Encik Lim berkata Encik Xu tidak akan meneruskan rancangan pelibatan pihak ketiga dalam kes itu, sekali gus menolak kemungkinan Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee memberi keterangan di mahkamah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >