Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Takdir bertemu semula jodoh pada usia 70-an tahun

Sep 15, 2018 | 05:30 AM



KALAU jodoh, tidak ke mana.



Pada usia yang mencecah 70 tahun, Encik Ismail Amir melafazkan akad nikah kepada wanita yang pernah membesar dengannya di kampung yang sama suatu ketika dahulu.



Kenangan zaman muda itulah yang menjadikan perkahwinan mereka sejak tahun lalu sebagai sesuatu yang amat istimewa sekali.



Meskipun berasal dari kampung yang sama di Jalan Greja, dekat Bedok Road, dan pernah memendam rasa pada zaman muda dahulu, sudah ditakdirkan jodoh Encik Ismail dan Cik Saffiah Zaid dengan orang lain.



Encik Ismail dan Cik Saffiah, yang kini berumur 71 tahun, menikmati kehidupan dengan pasangan masing-masing, sehinggalah kededua pasangan mereka meninggal dunia.



Isteri Encik Ismail meninggal dunia sekitar 10 tahun lalu, sementara suami Cik Saffiah meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu.



Setelah sekian lama keseorangan dan berdekad lamanya tidak bersua, takdir menemukan mereka secara tidak sengaja di Geylang Serai tahun lalu.



"Semasa terserempak beliau, saya teragak-agak mahu tegur. Tidak pasti orang lain atau kawan sekampung... Tetapi saya cuba sahaja," ujar ibu kepada empat orang anak itu.



Siapa sangka teguran itu telah membuat cinta kembali berputik dalam hati Encik Ismail.



"Saya gembira... apatah lagi sudah lama kami tidak berjumpa," kata ayah kepada tiga orang anak itu yang begitu emosi dan sering menitiskan air mata sepanjang wawancara dengan wartawan.



Encik Ismail menceritakan, pada tahun 1960-an, beliau mengikuti kelas agama di rumah Cik Saffiah, dan perasaan suka kepada wanita itu mula berputik. Bagaimanapun, beliau terlalu segan untuk melafazkannya.



"Saya cuma jumpa beliau waktu mengaji sahaja. Kata orang sekarang, tak ada peluang untuk menggatal!" gelak Encik Ismail.



Sambil tersenyum lebar, Cik Saffiah mencelah: "Saya tahu dia ada hati dengan saya. Tetapi hati saya belum terbuka."



Pada usia 15 tahun, Cik Saffiah bernikah dalam perkahwinan yang diatur ibu bapanya.



"Sebenarnya, saya belum sedia mahu berkahwin. Maklumlah, pada umur 15 tahun, saya belum tahu apa-apa langsung," ujar Cik Saffiah.



Beliau kemudian berpindah ke kampung lain tanpa pengetahuan Encik Ismail. Meskipun rasa sedih, Encik Ismail reda kepada takdir.



Namun, 55 tahun kemudian, Encik Ismail akhirnya melamar Cik Saffiah.



Anak-anak mereka - yang telah diberitahu mengenai sejarah antara pasangan itu - merestui dan menyokong perkahwinan mereka sebulat hati.



Pernikahan mereka diadakan secara kecil-kecilan di flat studio sewa di mana mereka menginap sekarang.



Meskipun di ambang usia emas, mahligai perkahwinan yang dibina itu membantu mereka meniti hari-hari tua bersama, kata Cik Saffiah.



"Cinta saya bukan kerana nafsu... Pada usia 70 tahun ini, perasaan cinta ini mekar kerana kami ingin saling menemani," ujar Encik Ismail.



Saksikan video wawancara Encik Ismail dan Cik Saffiah di BeritaHarian.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >