PENDUDUK Jurong kini boleh menikmati tarikan taman baru, Jurong Play Grounds, sebuah presint gaya hidup Singapura di kawasan barat untuk keluarga dan haiwan peliharaan.
Taman yang terletak di 2 Jurong Gateway Road itu bersaiz sebesar 355,000 kaki persegi, atau sekitar hampir enam padang bola, dibina daripada ruang lapang yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini.
Ia kini merangkumi pembangunan komersial dan juga taman untuk kegiatan riadah masyarakat.
Hanya 15 minit jarak jalan kaki dari MRT Jurong East, taman itu menyediakan kebun masyarakat, taman terbesar di Singapura untuk anjing dan kawasan terbuka yang boleh menampung hingga 10,000 orang.
Melancarkan taman itu semalam ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam yang meluahkan kegembiraannya menyaksikan kawasan itu kini hidup dan memberi peluang untuk penduduk berhimpun bersama.
"Kami sudah lama menantikan ruang yang bermakna sedemikian untuk penduduk dan saya rasa banyak usaha telah disalurkan kepada pembinaan ini yang tidak dilihat orang ramai.
"Saya menggalak semua datang untuk meluangkan masa di taman ini kerana terdapat pelbagai kegiatan untuk semua usia dan saya harap mereka akan mengambil kesempatan untuk menyertai dan meraih manfaat daripada tempat ini," ujar Cik Rahayu kepada Berita Minggu semalam.
Menurut Pengarah Urusan, Hua Hng Trading yang juga pemilik dan pengasas Jurong Play Grounds, Encik Chua King Wah, tujuan utama membeli ruang pajakan di Jurong itu adalah kerana tapak semaiannya di Yishun, yang telah beroperasi selama 29 tahun, hampir tamat.
Memiliki tapak Jurong Play Grounds, katanya, akan memberi peluang syarikatnya meluaskan jualan pohon-pohon di kedai runcitnya.
"Dengan pelancaran rasmi tapak ini, kami harap dapat menarik rakyat Singapura untuk mengunjung kami supaya dapat menikmati keunikan Jurong Play Grounds," kata Encik Chua.
Di bawah pemilikan Hua Hng Trading sejak 2021, kawasan itu kini mempunyai baki sembilan tahun untuk pajakan sewa tanah itu.
Syarikat itu telah membeli tanah tersebut daripada Sin Flora Pte Ltd, untuk mengendali tapak semaian serta penggunaan komersial secara sampingan.
Menelan perbelanjaan lebih $5 juta, ruang lapang tersebut telah melalui kerja-kerja pembaikan untuk menawarkan pelbagai kegiatan bagi pengunjung.
Seramai 250 orang telah hadir semasa pelancaran rasmi itu semalam pagi.
Antaranya ialah Cik Ara Khalid yang gembira beliau telah meluangkan masa untuk menyokong usaha tersebut.
"Saya kagum melihat pelbagai kegiatan yang ditawarkan dan ia sesuai untuk semua usia dan bangsa.
"Saya juga rasa adalah penting untuk menyokong perniagaan tempatan," ujar pemilik perniagaan pohon Jungalore, yang hadir untuk melihat jualan runcit pohon-pohon yang ada.
Pengunjung juga boleh menikmati beberapa trak makanan seperti The Satay Man dan Pergh!Chicks.
Pemilik The Satay Man, Encik Mohammad Yazid Yahya turut gembira terdapat lebih peluang untuk menyertai acara sedemikian.
"Ini memberi peluang untuk perniagaan tempatan mempromosikan jenama kami dan harga sewa juga amat berpatutan," ujar beliau yang juga mempunyai gerai fizikal di Woodlands Crescent.
Jurong Play Grounds akan menambah lebih banyak landskap kehijauan dan selain kegiatan mesra keluarga dan haiwan peliharaan pada bulan-bulan akan datang.
Ini juga termasuk konsep trak makanan yang menampilkan penjaja makanan setempat, tayangan filem, persembahan muzik secara langsung dan pasar malam yang disambut baik supaya dapat membawa pengalaman baru bukan sahaja kepada penduduk di kawasan barat, malah serata Singapura.
Lungsuri laman web jpg.sg untuk maklumat lanjut mengenai kegiatan yang ditawarkan serta harga bagi penyewaan ruang runcit yang ada.